Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Dua kadar zakat fitrah Sabah ambil kira jenis beras dimakan – MUIS

Read Time:2 Minute, 17 Second

KOTA KINABALU : Penetapan dua kadar zakat fitrah RM7.50 dan RM15 seorang di Sabah mengambil kira variasi jenis beras yang menjadi makanan harian masyarakat Islam di negeri ini.

Perkara itu dijelaskan Setiausaha Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) Datuk Ramlan Awang Ali selepas pengisytiharan dua kadar zakat fitrah oleh Yang Dipertua MUIS Datuk Seri Yahya Hussin.

Ramlan berkata, selain perbezaan jenis beras, penetapan itu juga adalah bagi memastikan kewajipan zakat fitrah dapat ditunaikan dengan lebih sempurna dan tepat serta seterusnya dapat meningkatkan pungutan zakat fitrah di negeri Sabah.

“Untuk makluman, kedua-dua kadar zakat fitrah ini telah mendapat kelulusan daripada Sahibus Samahah Datuk Mufti Negeri Sabah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Zakat dan Fitrah.

“Penetapan dua kadar zakat fitrah ini adalah mengambil kira perbezaan jenis beras yang dimakan oleh masyarakat Islam di Sabah, di samping memastikan kewajipan zakat fitrah dapat ditunaikan dengan lebih sempurna dan tepat, seterusnya dapat meningkatkan pungutan zakat fitrah di negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Ramlan berkata, kadar pertama zakat fitrah bagi 1447 Hijrah bersamaan 2026 Masihi, iaitu sebanyak RM7.50 ditetapkan bagi mereka yang memakan beras putih import, manakala kadar kedua iaitu RM15, bagi mereka yang memakan beras wangi.

Katanya, kadar yang ditetapkan mengikut jenis beras yang dimakan itu wajib dibayar oleh setiap orang Islam yang bermastautin di Sabah.

” Bagi menentukan kadar Zakat Fitrah tahun 1447H / 2026M, Bahagian Zakat dan Fitrah (MUIS) dengan kerjasama Beras Corporation (Sabah) Sdn. Bhd. telah mengadakan sesi perbincangan bagi mendapatkan data dan statistik berkaitan maklumat beras di negeri Sabah.

“Mengikut perakuan Beras Corporation (Sabah) Sdn. Bhd., beras utama yang dipasarkan di Sabah adalah terdiri daripada beras putih import, beras wangi dan juga beras basmathi,” katanya.

Sementara itu, Ramlan berkata, Bahagian Zakat dan Fitrah MUIS telah membuat tinjauan kuantiti dan harga jualan beras di Sabah melibatkan beberapa buah pasaraya utama di lapan buah daerah negeri Sabah.

Antaranta Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Lahad Datu, Kota Marudu, Beaufort, Keningau dan Ranau. 

“Hasil daripada tinjauan tersebut, harga purata keseluruhan berdasarkan lapan buah daerah menunjukkan beras putih import adalah sekitar RM2.82 sekilogram, manakala purata harga beras wangi adalah sekitar RM5.43 sekilogram.

“Penentuan harga Zakat Fitrah bagi negeri Sabah adalah mengikut timbangan satu gantang Baghdad iaitu bersamaan 2.70 kilogram selaras peruntukan Enakmen Zakat dan Fitrah tahun 1993, di bawah Seksyen 56 dan juga ketetapan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-57 yang bersidang pada 10 Jun 2003,” katanya.

Dalam pada itu, Ramlan berkata, MUIS menyeru seluruh umat Islam di negeri ini agar menunaikan kewajipan zakat fitrah mengikut kadar yang bersesuaian dengan jenis beras yang dimakan. 

“Mudah-mudahan dengan melaksanakan ibadah zakat fitrah di bulan Ramadan ini dapat membantu golongan asnaf yang memerlukan,” katanya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE