Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Dua bot jerut bilis ditahan langgar syarat lesen

Read Time:1 Minute, 9 Second

LAHAD DATU: Dua bot pukat jerut bilis yang dikesan melanggar syarat lesen penangkapan ikan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Tabawan, Kunak, semalam.

Kedua-dua bot berkenaan ditahan sekitar jam 3.30 petang oleh sepasukan anggota Maritim Malaysia yang menjalankan Op Pluto Timur 2/2023 dan Op Tiris 3.0 di lokasi kira-kira 0.5 batu nautika utara Pulau Tabawan.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali, berkata hasil pemeriksaan mendapati sebuah bot dikendalikan tiga warga tempatan berusia 21 hingga 33 tahun, manakala sebuah lagi dikendalikan warga Filipina berusia 52 tahun bersama dua kru tempatan berusia antara 24 hingga 44 tahun.

“Semua kru memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, namun semakan lanjut mendapati kedua-dua bot terbabit melanggar syarat lesen di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua bot bersama kru kemudian dibawa ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu untuk siasatan lanjut.

“Maritim Malaysia sentiasa komited memastikan aktiviti perikanan dijalankan mengikut undang-undang demi menjaga kelestarian sumber marin negara.

“Tindakan tegas seperti ini penting bagi melindungi ekosistem laut dan memastikan hak serta sumber nelayan pesisir tidak terjejas,” katanya.

Dzulfikhar turut mengingatkan komuniti maritim supaya mematuhi undang-undang laut dan menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di laut melalui aplikasi WhatsApp di 016-930 5727 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA

LEAVE A RESPONSE