Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Dr Malik tempuh hidup penuh cabaran, tidak pernah berputus asa – Azrul

Read Time:1 Minute, 58 Second

KOTA KINABALU: Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Azrul Ibrahim, menyatakan rasa bangga dan terharu selepas berpeluang bertemu bekas banduan pertama yang memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) ketika dalam penjara dan diberi pengampunan penuh sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor pada tahun 2024.

Azrul berkata, Dr. Malik Yatam yang berasal dari Kampung Pinatau, Kota Marudu itu dilihat mempunyai perjalanan hidup yang luar biasa.

Katanya, Dr. Malik, yang dipenjarakan sejak usia 14 tahun pada tahun 2001, menempuh kehidupan penuh cabaran tetapi tidak pernah berputus asa.

Dalam tempoh beliau berada di penjara, Azrul berkata, Dr. Malik menjadikan pendidikan sebagai jalan keluar, menimba ilmu tanpa henti sehingga berjaya menamatkan pengajian tinggi dan akhirnya memperoleh PhD.

“Dengan ketabahan, disiplin dan usaha berterusan, beliau turut dianugerahkan Limpah Perkenan Sultan Selangor pada tahun 2024, sekaligus muncul sebagai simbol harapan dan bukti bahawa setiap insan berhak mendapat peluang kedua dalam hidup.

“Pertemuan ini bukan sahaja memberi inspirasi kepada saya secara peribadi, malah menjadi pengajaran bahawa ketekunan dan keazaman mampu mengubah nasib seseorang walau dalam keadaan yang paling sukar,” katanya.

Selepas 24 tahun menjalani hukuman Tahanan Limpah Sultan (LTS), hukuman yang tidak ada tarikh bebas, tidak dijatuhkan hukuman mati kerana ketika kesalahan dilakukan banduan berkenaan berumur di bawah 18 tahun, Malik akhirnya dibebaskan pada 11 Disember 2024.

Beliau menjalani hukuman sejak 2001 pada usia 14 tahun, Malik kini berusia 39 tahun berjaya memperoleh PhD dalam bidang pentadbiran perniagaan, hasil usaha melanjutkan pelajaran semasa menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Ketika berusia 14 tahun, Malik mengambil keputusan nekad berhijrah ke Semenanjung dari Sabah demi membantu keluarga selepas berhenti sekolah kerana kesempitan hidup.

Bagaimanapun, perjalanan hidup Malik yang turut dikenali dengan nama Dr Murad berubah sepenuhnya apabila dia akhirnya menjadi mangsa eksploitasi dan penderaan majikan sehingga membawa kepada tragedi yang menghantarnya ke penjara seawal usia 14 tahun.

Malik menjalani kehidupan selama 24 tahun di sebalik jeriji besi sebagai Tahanan Limpah Sultan (TLS), malah dia sempat merasakan masa depannya gelap dan hancur namun mula menyedari pendidikan boleh mengubah hidupnya biarpun dia tiada tarikh pembebasan.

Tanpa guru dan kelas, dia memulakan pembelajaran dengan hanya meminjam buku rakan, menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2006 ketika berusia 21 tahun sebagai calon persendirian, diikuti Sijil Peperiksaan Tinggi Malaysia (STPM) setahun kemudian.

Dia kemudiannya menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda sehingga akhirnya dianugerahkan PhD dalam Pentadbiran Perniagaan sekali gus mencipta sejarah sebagai prospek pertama menggenggam PhD ketika menjalani hukuman.

LEAVE A RESPONSE