Read Time:1 Minute, 31 Second
Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Di sebalik keterbatasan fizikal, seorang doktor perubatan membuktikan kecekalan dan dedikasi tanpa batas apabila tersenarai antara 1,026 penerima anugerah kebesaran negeri sempena Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-75 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, tahun ini.
Dr. Fatimah Sabrina Moahmmad yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal, dianugerahkan Pingat Ahli Darjah Kinabalu (ADK) sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan berterusan beliau dalam bidang perubatan serta penglibatan aktif dalam program kemasyarakatan.
Menurut beliau, penganugerahan itu membawa makna besar dalam perjalanan kerjaya dan kehidupannya sebagai seorang doktor.
“Anugerah ini amat bermakna buat saya kerana ia mengiktiraf perjalanan dan komitmen saya dalam memperjuangkan akses kesihatan yang lebih inklusif serta penglibatan dalam pelbagai program komuniti di peringkat negeri dan negara,” katanya ketika dihubungi Sabah Media.
Katanya, sepanjang perkhidmatan, beliau sentiasa berusaha memastikan golongan rentan, khususnya OKU, tidak terpinggir daripada menerima perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.
“Saya percaya setiap individu berhak mendapat akses kesihatan yang adil dan menyeluruh. Itu menjadi pegangan utama saya dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pegawai perubatan,” katanya.
Walaupun berdepan cabaran sebagai individu OKU fizikal, Dr. Fatimah menegaskan perkara itu bukan halangan untuk terus berbakti.
“Cabaran yang saya hadapi bukan penghalang, sebaliknya menjadi kekuatan untuk saya terus memberi yang terbaik dalam kerjaya serta dalam aktiviti kebajikan dan kesukarelawanan,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut memaklumkan kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), sebagai usaha berterusan memperkukuh ilmu dan kepakaran.
“Saya ingin terus menimba ilmu dan meningkatkan keupayaan diri, bukan sahaja untuk perkembangan kerjaya, tetapi juga untuk memberi impak yang lebih besar kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berharap pengiktirafan tersebut mampu menjadi inspirasi kepada golongan OKU untuk terus melangkah ke hadapan dan mencapai kejayaan.
“Saya berharap lebih ramai golongan OKU berani mencabar diri dan membuktikan bahawa kita juga mampu berjaya serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat,” katanya.





