RANAU: Kemudahan masyarakat di Kampung Pahu Pinawantai terus diperkasa dengan perasmian Dewan Mini dan Hiking Trail yang diadakan meriah baru-baru ini.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin, yang turut meluangkan masa beramah mesra bersama penduduk kampung serta meninjau perkembangan pembangunan infrastruktur di kawasan itu.
Dalam ucapannya, Datuk Jonathan berkata pembinaan Dewan Mini berkenaan memberi manfaat besar kepada komuniti setempat sebagai pusat pertemuan, penganjuran aktiviti sosial, majlis rasmi dan pelbagai program kemasyarakatan.
Beliau turut merasmikan pembukaan Hiking Trail yang dibangunkan oleh penduduk kampung sebagai inisiatif ekopelancongan untuk menarik kedatangan pelancong dari dalam dan luar negeri.
“Dengan adanya Hiking Trail ini, kita bukan sahaja mempromosikan gaya hidup sihat, malah memperkenalkan keindahan alam semula jadi Kampung Pahu Pinawantai kepada para pelancong,” katanya.
Majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan kehadiran pemimpin masyarakat, belia tempatan serta penduduk kampung yang menunjukkan semangat gotong-royong tinggi dalam memajukan kawasan mereka.
Perasmian itu mencerminkan komitmen kerajaan dan kepimpinan Parlimen Ranau dalam membangunkan kawasan luar bandar serta memperkasa potensi komuniti setempat, sejajar dengan agenda pembangunan inklusif dan mampan.






