Read Time:3 Minute, 0 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) terus memperkukuh aset hijau sebagai komponen penting pembangunan bandar mampan melalui transformasi Taman Botani Tun Fuad Stephens.
Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah, berkata kemajuan sesebuah bandar raya kini tidak lagi boleh diukur semata-mata melalui pembangunan fizikal dan pertumbuhan ekonomi.
Sebaliknya, pembangunan perlu mengambil kira keseimbangan antara pembangunan dan pemeliharaan alam sekitar, antara kemodenan dan kelestarian, serta antara kepentingan masa kini dan amanah untuk generasi akan datang.
“Dua puluh enam tahun bukan sekadar angka, tetapi simbol kematangan, ketegasan pentadbiran dan komitmen berterusan dalam memastikan pembangunan bandar raya bergerak seiring dengan prinsip kelestarian,” katanya ketika merasmikan Program Jejak Botani di di Taman Botani Tun Fuad Stephens, Bukit Padang, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah DBKK Datuk Sr. Lifred Wong.

Sabin berkata DBKK telah melaksanakan transformasi taman botani daripada sebuah taman awam biasa kepada taman botani yang lebih tersusun dari segi pengurusan, koleksi tanaman serta aktiviti pendidikan untuk masyarakat.
Transformasi ini membuktikan komitmen DBKK bersama rakan strategik dan komuniti agar taman ini bukan sekadar lokasi rekreasi, malah berkembang sebagai pusat pembelajaran dan pemuliharaan flora yang berstruktur dan berimpak tinggi.
“Transformasi ini adalah langkah strategik. Ia memperlihatkan kesungguhan pentadbiran bandar raya dalam memperkukuh asset hijau sebagai komponen penting pembangunan bandar mampan. Kawasan hijau seperti ini bukan hanya mencantikkan landskap, tetapi berfungsi sebagai nadi bandar yang menyumbang kepada kestabilan ekosistem, kualiti udara dan kesejahteraan sosial Masyarakat,” katanya.
Seiring dengan transformasi itu, Sabin berkata Program Jejak Botani sempena ulang tahun bandaraya ke-26 ini menjadi platform tepat untuk mendekatkan masyarakat dengan fungsi sebenar taman botani sebagai ruang pendidikan dan kesedaran alam sekitar.
“Melalui program ini memberi peluang kepada orang ramai untuk mengenali flora secara lebih dekat serta merasai pengalaman turun ke lapangan yang membina kesedaran dan rasa tanggungjawab terhadap alam sekitar,” katanya.
Menurut Sabin, program ini memberi tumpuan kepada dua aktiviti utama iaitu Pelancaran Pakej Pendidikan Botani dan Alam Sekitar serta aktiviti penanaman pokok.
Pelancaran pakej pendidikan tersebut memperkukuh peranan taman botani sebagai pusat pembelajaran luar bilik darjah melalui pendekatan experiential learning, yang terbukti berkesan dalam membentuk kefahaman dan sikap menghargai alam sekitar, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Pelancaran pakej pendidikan ini memperkukuh peranan taman botani sebagai pusat pembelajaran luar
Dalam program yang sama, Sabin berkata aktiviti penanaman pokok melambangkan komitmen kolektif terhadap usaha penghijauan bandar dengan etiap pokok yang ditanam bukan sekadar simbolik, tetapi merupakan pelaburan jangka panjang untuk keseimbangan ekosistem dan kesejahteraan generasi akan datang.

Usaha ini turut diperkukuh melalui inisiatif Corporate Social Responsibility (CSR) oleh Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N), sekali gus menunjukkan bahawa agenda kelestarian memerlukan kolaborasi strategik antara pihak berkuasa tempatan, sektor swasta dan komuniti.
Sabin berkata bahawa inisiatif ini juga selari dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menekankan pembangunan seimbang antara kemajuan ekonomi, pendidikan berkualiti dan kelestarian alam sekitar.
Beliau juga menegaskan bahawa pendidikan alam sekitar tidak boleh bersifat bermusim atau tertumpu kepada program tertentu sahaja, sebaliknya mesti dijadikan budaya dalam pentadbiran dan kehidupan masyarakat bandar raya. Program seperti ini perlu diteruskan secara konsisten dengan pengukuran keberhasilan yang jelas bagi memastikan perubahan sikap, peningkatan kesedaran, serta impak nyata terhadap kebersihan, landskap dan kelestarian bandar raya.
Beliau turut menyeru agar DBKK terus memperkasa taman botani sebagai aset bandaraya yang berprestij melalui peningkatan kualiti pengurusan, keselesaan dan keselamatan pengunjung, serta penyampaian maklumat dan program pendidikan yang lebih tersusun dan sistematik.
Tambahnya lagi, semua pihak termasuk jabatan, agensi, sekolah, institusi pengajian tinggi dan komuniti digalakkan untuk terus menyokong inisiatif taman botani itu dalam usaha memperkukuh identiti Kota Kinabalu sebagai bandar hijau yang progresif dan berdaya tahan.







