Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

DBKK keluarkan 13 kompaun dalam Ops Bersih di Jeti Kota Kinabalu

Read Time:1 Minute, 1 Second

KOTA KINABALU : Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengeluarkan sebanyak 13 keping kompaun kepada individu yang masih membuang sampah di kawasan awam dalam satu operasi Ops Bersih Jeti DBKK, Jalan Tun Fuad Stephens, di sini baru-baru ini. 

Operasi yang dijalankan pada 4 dan 9 Oktober 2025 itu dikendalikan oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal (JPSP) melibatkan lapan anggota Unit Kawalan Selia, yang menumpukan pemeriksaan di sekitar kawasan jeti serta laluan awam berdekatan.

DBKK dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan pengeluaran kompaun itu bukan sekadar hukuman, sebaliknya sebagai langkah mendidik masyarakat agar lebih prihatin terhadap kebersihan dan kelestarian alam sekitar.

“DBKK mahu mendidik masyarakat supaya tidak hanya mengharapkan pihak berkuasa membersihkan kawasan awam, sebaliknya bersama-sama menjaga kebersihan demi imej bandaraya,” menurut kenyataan itu di sini pada Jumaat.

Kesalahan berkenaan disiasat di bawah Undang-Undang Kecil Anti Sampah Sarap 1984 (Pindaan 2005) yang memperuntukkan denda antara RM20 hingga RM500 bagi setiap kesalahan membuang sampah merata-rata.

DBKK turut memaklumkan bahawa Ops Bersih akan diteruskan secara berjadual di kawasan tumpuan termasuk taman rekreasi, pasar awam dan pesisir pantai bagi memastikan Bandaraya Kota Kinabalu kekal bersih, indah dan selesa untuk semua. – SABAH MEDIA / FOTO DBKK

LEAVE A RESPONSE