Read Time:1 Minute, 57 Second
KUALA LUMPUR : Pelancaran Dashboard Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) disifatkan sebagai satu pencapaian penting selepas hampir sedekad usaha berterusan Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan perkara-perkara berkaitan MA63 secara berstruktur dan tersusun.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, kewujudan dashboard berkenaan membolehkan rakyat menelusuri status pelaksanaan MA63 secara telus, berfakta dan mudah diakses.
“Selepas penubuhan Jawatankuasa Devolution of Authority (JKDA) pada tahun 2016, akhirnya sebuah platform awam berjaya dilancarkan bagi membolehkan rakyat menelusuri status pelaksanaan MA63 secara telus dan berfakta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap Majlis Peluncuran Dashboard Status Pelaksanaan Perkara di Bawah Perjanjian Malaysia 1963 (Dashboard MA63) di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.
Majlis pelancaran disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Mustapha berkata, sehingga kini, sebanyak 29 perkara dibincangkan di bawah platform rundingan rasmi MA63, dengan 13 perkara telah dilaksanakan.
Katanya, ini termasuklah sembilan perkara yang diselesaikan di bawah pentadbiran Kerajaan Madani, manakala baki 16 perkara lagi masih dalam pemantauan dan perbincangan berterusan.
Menurut beliau, walaupun beberapa perkara telah dikategorikan sebagai selesai, Kerajaan Persekutuan melalui Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS), Jabatan Perdana Menteri akan terus melaksanakan sesi libat urus bersama pemegang taruh bagi memastikan pelaksanaan tersebut memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian rakyat.
Mengulas mengenai keperluan dashboard ini, Mustapha berkata, sebelum ini maklumat berkaitan pelaksanaan MA63 berselerak di pelbagai platform termasuk media massa dan hansard Parlimen, tanpa satu rujukan awam yang menyeluruh dan mudah diakses.
“Dashboard MA63 diwujudkan sebagai platform pemantauan bersepadu yang membolehkan maklumat disampaikan dengan lebih tepat, tersusun dan masa sebenar (real time), selaras dengan prinsip ketelusan dan semangat reformasi yang ditekankan oleh Kerajaan Madani,” katanya.
Pembangunan Dashboard MA63 dilaksanakan secara dua fasa, dengan fasa pertama yang dilancarkan hari ini boleh diakses melalui portal rasmi BHESS.
Manakala fasa kedua akan melibatkan penambahbaikan berterusan termasuk pengemaskinian maklumat secara langsung oleh kementerian dan agensi berkaitan.
Mustapha berkata, pelancaran dashboard ini turut menzahirkan komitmen Kerajaan Madani untuk meletakkan MA63 sebagai agenda nasional, dan bukan semata-mata isu wilayah Sabah dan Sarawak.
“Matlamat utama pelaksanaan MA63 adalah untuk memastikan setiap keputusan dan tindakan yang diambil memberi nilai tambah kepada rakyat, memperkukuh perpaduan nasional serta mengangkat Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat dan inklusif,” katanya.
Beliau berharap Dashboard MA63 akan menjadi sumber rujukan utama kepada seluruh rakyat Malaysia dalam mendapatkan maklumat sahih berhubung status pelaksanaan perkara-perkara di bawah MA63. – SABAH MEDIA






