Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Dari Kg Sungai Tamang ke Sebatik: Suara rakyat mahu pembangunan berterusan dan pemimpin berjiwa rakyat

Read Time:1 Minute, 52 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: Penduduk Kampung Sungai Tamang menzahirkan harapan agar kerajaan sedia ada diteruskan pentadbirannya selepas Pilihan Raya Dewan Undangan ke-17 (PRN17) Sabah memandangkan banyak bantuan dan inisiatif telah dinikmati rakyat di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Sungai Tamang, Hamdan Sarapuddin berkata, kestabilan kerajaan yang ada kini penting untuk memastikan kesinambungan pembangunan, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebatik yang masih memerlukan pelbagai penambahbaikan daripada segi kemudahan asas dan ekonomi setempat.

“Kita mengharapkan kerajaan sekarang ini akan memerintah semula, sebab daripada apa yang kita nampak, banyak bantuan-bantuan daripada kerajaan GRS yang ada sekarang. Jadi kerajaan ini perlu kita kekalkan,” katanya kepada Sabah Media.

Menyentuh soal calon, Hamdan berharap individu yang bakal diketengahkan nanti merupakan seorang yang ramah, prihatin dan rajin turun padang untuk meninjau masalah rakyat.

“Kita mahu calon yang boleh bekerjasama dengan masyarakat, mendengar suara rakyat dan memantau kawasan yang diwakilinya agar setiap masalah dapat diselesaikan dengan cepat,” ujarnya.

Beliau turut menekankan bahawa tumpuan pembangunan di Sebatik tidak seharusnya hanya kepada infrastruktur, tetapi juga kepada pembangunan modal insan dan peluang pekerjaan.

“Sebatik ada potensi besar. Kita ada ladang getah, sawit, koko dan sektor perikanan. Kalau boleh, wujudkan kilang pemprosesan hasil tempatan supaya rakyat boleh bekerja di sini dan tidak perlu ke luar daerah mencari rezeki,” katanya.

Hamdan turut mencadangkan agar kerajaan meneliti penubuhan institusi pendidikan tinggi di kawasan Kalabakan dan Sebatik bagi memudahkan pelajar menyambung pelajaran tanpa perlu berhijrah jauh dari keluarga.

“Ramai anak-anak kita belajar di luar daerah dan kos sara hidup semakin meningkat. Jika ada universiti atau institut di kawasan ini, ia akan meringankan beban keluarga. Kita juga mahu lihat Kalabakan dinaiktaraf menjadi majlis daerah,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata golongan belia perlu diberi perhatian, termasuk menyediakan peluang pekerjaan agar mereka tidak berhijrah ke luar negeri untuk bekerja.

“Ramai anak muda kita bekerja sampai ke Semenanjung. Kalau ada peluang di Sebatik, mereka akan balik dan dapat berbakti kepada kampung sendiri. Tambang penerbangan pun mahal, mungkin kerajaan boleh lihat cara untuk kurangkan kos bagi mereka yang mahu pulang beraya,” tambahnya.

Menurut Hamdan, semua harapan ini mencerminkan keprihatinan rakyat terhadap kepimpinan GRS yang disifatkannya sebagai kerajaan yang dekat dengan rakyat dan memahami realiti di akar umbi.

LEAVE A RESPONSE