Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

DAP Sabah sambut baik keputusan mahkamah memihak SLS berhubung hak 40 peratus hasil

Read Time:1 Minute, 46 Second

KOTA KINABALU: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sabah menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi yang memihak kepada Sabah Law Society (SLS) berhubung isu hak 40 peratus hasil Persekutuan yang diperoleh daripada negeri ini.

Pengerusinya, Datuk Phoong Jin Zhe, berkata keputusan itu bukan sahaja bersejarah, malah menandakan langkah penting dalam usaha memulihkan keadilan serta kesaksamaan kepada rakyat Sabah, di samping memperkukuh prinsip yang termaktub dalam Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“DAP Sabah menghargai keberanian dan keteguhan SLS dalam memperjuangkan kes ini yang mencerminkan aspirasi bersama rakyat Sabah untuk mendapatkan pengiktirafan penuh terhadap hak perlembagaan dan kewangan negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Phoong, keputusan mahkamah itu membawa mesej jelas bahawa hak Sabah di bawah MA63 bukan sekadar retorik politik, tetapi tanggungjawab undang-undang yang mesti dihormati oleh Kerajaan Persekutuan.

“Kemenangan ini bukan sekadar kejayaan undang-undang buat SLS, tetapi juga kemenangan moral buat rakyat Sabah yang menunggu puluhan tahun untuk melihat keadilan ditegakkan.

“Keputusan ini mengembalikan keyakinan terhadap kedaulatan undang-undang dan membuktikan bahawa mekanisme perlembagaan kekal sebagai saluran sah untuk menuntut keadilan dan kesaksamaan,” katanya.

Phoong menegaskan, keputusan itu harus menjadi titik perubahan dalam hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Persekutuan mesti bertindak segera dan tegas bagi melaksanakan apa yang sewajarnya menjadi hak Sabah serta memastikan urusan kewangan dijalankan secara telus, adil dan tepat pada masanya.

“Kami turut menggesa Peguam Negara Persekutuan menghormati keputusan Mahkamah Tinggi ini dan tidak memfailkan rayuan. Langkah sedemikian hanya akan menambah kekecewaan rakyat serta menangguhkan keadilan yang sepatutnya diterima oleh rakyat Sabah,” katanya.

Beliau berkata, perjuangan ini tidak pernah bersifat politik, sebaliknya berpaksikan kepada prinsip keadilan, maruah dan kesamarataan — nilai asas yang membentuk Malaysia sebagai sebuah persekutuan berteraskan kepercayaan dan kerjasama.

Phoong turut menyeru agar kedua-dua kerajaan Persekutuan dan Negeri bekerjasama dengan penuh keikhlasan dalam memastikan semakan semula hak 40 peratus serta komitmen lain di bawah MA63 dilaksanakan secara telus dan berintegriti.

“Inilah masanya untuk menunjukkan kepimpinan dan integriti sebenar bagi membuktikan bahawa sistem persekutuan mampu berfungsi untuk semua rakyat Malaysia, khususnya di Sabah dan Sarawak.

“Keputusan ini adalah kemenangan untuk rakyat, untuk keadilan, dan untuk semangat Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.

LEAVE A RESPONSE