Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Dakwaan ahli DAP keluar parti beramai-ramai tidak benar – Vivian

Read Time:1 Minute, 19 Second

SANDAKAN: Setiausaha DAP Sabah, Vivian Wong mengecam tindakan bekas pemimpin parti yang didakwa sengaja mencipta persepsi palsu berhubung isu keluar parti untuk memburukkan imej DAP dan mengelirukan orang awam.

Vivian menegaskan dakwaan bekas Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon dan bekas Setiausaha Organisasi, Liau Fui Fui kononnya beberapa ahli cawangan DAP keluar parti beramai-ramai adalah tidak benar.

Beliau berkata, gambar yang menunjukkan ahli keluar parti secara beramai-ramai adalah membabitkan kumpulan individu yang sama tetapi gambar mereka diambil berulang kali untuk mewujudkan tanggapan palsu seolah-olah jumlah mereka ramai.

“Dakwaan cawangan dibubarkan juga tidak tepat kerana hanya segelintir ahli yang keluar parti, manakala cawangan berkenaan masih wujud dan berfungsi.

“Cara mereka adalah permainan politik murahan untuk menipu rakyat serta merosakkan reputasi DAP,” katanya dalam kenyataannya di sini.

Vivian juga menjelaskan DAP tidak pernah mengabaikan dua pemimpin itu dengan Frankie pernah dilantik sebagai pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atas perakuan parti, selain memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Papat di bawah tiket DAP.

Katanya, Lo pula selain diberi kepercayaan bertanding di kerusi Parlimen Batu Sapi pada pilihan raya lalu, beliau juga diberikan jawatan pengerusi GLC.

“Kini mereka menuduh parti tidak menghargai sumbangan mereka. Dakwaan itu tidak berasas sama sekali.

“DAP sentiasa berpegang pada prinsip keadilan, integriti dan semangat berpasukan serta tidak pernah membuat keputusan berdasarkan kepentingan peribadi, tetapi demi khidmat kepada rakyat dan usaha reformasi.

“Mereka kononnya keluar parti atas nama perjuangan rakyat, tetapi hakikatnya hanya untuk kepentingan politik diri sendiri,” katanya.

Vivian menegaskan DAP tidak akan terjejas dengan taktik murahan sebegitu, sebaliknya akan terus kukuh memperjuangkan agenda rakyat di peringkat akar umbi.

LEAVE A RESPONSE