Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Curi fius elektrik untuk dijual, lelaki dipenjara 3 bulan

KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang mencuri enam unit fius milik Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Holdings dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini.

Tertuduh, Mohd Yusry Yusdy, 25, mengaku bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin terhadap kesalahan yang dilakukan pada 19 Oktober lalu, kira-kira jam 12.15 tengah malam, di bangunan Blok E Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kiansom, Inanam.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan pemenjaraan sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan oleh sepasukan anggota Balai Polis Inanam selepas dikesan bertindak mencurigakan ketika memotong fius elektrik jenis C40 2-Phase di panel simpanan elektrik bangunan tersebut.

Tertuduh cuba melarikan diri tetapi polis berjaya menahannya.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati enam unit fius C40 2-Phase yang telah dipotong, bersama beberapa peralatan lain seperti pisau, pemutar skru, gunting, kepala nut dan batang besi yang digunakan tertuduh untuk mencuri fius berkenaan.

Tertuduh mengaku mencuri fius tersebut dengan tujuan untuk dijual dan siasatan mendapati fius adalah hak milik syarikat DBKK Holdings Sdn. Bhd.

LEAVE A RESPONSE