Read Time:1 Minute, 30 Second
KOTA KINABALU: Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd (CIS) menyumbang sebanyak RM1 juta kepada Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) bagi membantu memperkukuh prestasi pasukan negeri itu dalam saingan bola sepak negara.
Sumbangan berkenaan disampaikan Pengerusi CIS, Datuk Japlin Akim kepada Pemangku Presiden SAFA, Datuk Awang Kadin Tang dalam satu majlis ringkas di pejabat SAFA, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengurus Kanan Sumber Manusia dan Khidmat Korporat CIS, Ezrie Ag Raini serta Setiausaha Agung SAFA, Shamsuddin Mohd Shah.
Japlin berkata, sumbangan itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan syarikat dalam menyokong pembangunan sukan bola sepak di Sabah, khususnya dalam memperkasa program pembangunan bakat dan meningkatkan prestasi pasukan negeri.
“CIS percaya bola sepak mampu menjadi platform penting dalam membentuk disiplin, semangat berpasukan serta jati diri dalam kalangan generasi muda.
“Justeru, sokongan seperti ini wajar diteruskan demi memastikan pembangunan sukan negeri terus berkembang,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata, sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri, CIS turut memikul tanggungjawab sosial untuk membantu pelbagai sektor termasuk sukan, pendidikan dan kebajikan di Sabah.
Menurutnya, sumbangan kepada SAFA juga tepat pada masanya menjelang beberapa perlawanan penting pasukan Sabah dalam saingan liga bulan depan.
“Diharapkan sumbangan ini dapat membantu SAFA dalam melaksanakan program serta menampung keperluan operasi pasukan,” katanya.
Japlin turut memaklumkan bahawa CIS sebelum ini pernah menyumbang RM500,000 kepada SAFA dan jumlah itu ditingkatkan kepada RM1 juta tahun ini sebagai tanda sokongan berterusan terhadap pembangunan bola sepak negeri.
Sementara itu, Awang Kadin merakamkan penghargaan atas sumbangan tersebut yang disifatkan sebagai suntikan moral dan kewangan kepada SAFA.
“Saya bagi pihak SAFA mengucapkan terima kasih kepada CIS khususnya Datuk Japlin atas sumbangan ini yang amat bermakna kepada kami bagi menghadapi musim baharu,” katanya.
Beliau berkata, sumbangan berkenaan akan dimanfaatkan sebaiknya bagi memperkukuh pengurusan pasukan serta meningkatkan prestasi bola sepak Sabah ke tahap lebih tinggi.






