Read Time:1 Minute, 30 Second
KOTA KINABALU : Calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) khususnya di Sabah diingatkan untuk memberi tumpuan bukan sahaja kepada persediaan akademik, tetapi juga kepada kesihatan fizikal dan mental.
Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) Sabah Datuk Mohammad Arif Sakaran berkata, ia bagi memastikan para calon dapat menghadapi peperiksaan dengan tenang dan berkeyakinan.
Beliau turut menasihati agar calon SPM dapat mengekalkan keseimbangan antara belajar dan rehat dalam tempoh akhir persediaan bagi menduduki peperiksaan.
“Tidur yang cukup dan pemakanan seimbang amat penting untuk memastikan otak berfungsi dengan baik pada hari peperiksaan.
“Tubuh yang sihat membantu minda kekal fokus dan mampu mengekalkan daya ingatan yang kuat,” katanya dalam kenyataan di sini.
Selain itu, beliau turut meminta calon agar tidak memaksa diri belajar secara berlebihan pada saat akhir.
Katanya, ulang kaji perlu dilakukan secara teratur, dengan mengambil masa rehat apabila perlu.
“Jadual belajar yang tersusun dan terancang bukan sahaja mengelakkan tekanan, malah membantu pelajar mengulangi topik penting secara lebih berkesan.
“Jangan terlalu tertekan dengan tekanan rakan sebaya atau rasa takut gagal.Kawal emosi, berfikiran positif, dan yakin dengan kemampuan diri. Ingat, anda telah berusaha selama dua tahun — kini masa untuk menunjukkan hasilnya dengan tenang dan yakin,” katanya.
Dalam pada itu, Arif berkata, doa dan restu ibu bapa serta guru menjadi pendorong utama yang memberi kekuatan luar biasa kepada pelajar menghadapi cabaran besar seperti peperiksaan SPM.
“Berdoalah dan mohon restu daripada ibu bapa serta guru. Restu mereka adalah sumber kekuatan yang sukar diganti.
“Ia menenangkan hati dan memberi keyakinan untuk menjawab dengan tenang,” katanya.-
TARIKH PEPERIKSAAN SPM
📌 3-6 November 2025: Ujian Bertutur Bahasa Melayu
📌 10-13 November 2025: Ujian Bertutur Bahasa Inggeris
📌 17-19 November 2025: Ujian Amali Sains
📌 20 November 2025: Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Ujian Mendengar Bahasa Inggeris
📌 25 November hingga 23 Disember 2025: Peperiksaan Bertulis
SABAH MEDIA






