Read Time:2 Minute, 11 Second
KUDAT, Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Kapor, Datuk Ben Chong , menegaskan komitmennya untuk memastikan pendidikan di Kudat terus diperkasa agar anak-anak daerah itu tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.
Beliau berkata, akses kepada pendidikan berkualiti merupakan asas penting untuk mengubah masa depan keluarga di Kudat, terutama apabila anak-anak berjaya menamatkan pengajian dan memperoleh pekerjaan yang baik.
“Apabila anak kita mendapat ijazah, peluang mendapatkan pekerjaan yang stabil dan gaji lumayan semakin tinggi. Mereka bukan sahaja boleh membantu adik-beradik, malah dapat menyokong ibu bapa dan seterusnya mengubah nasib seluruh keluarga,” katanya ketika berucap dalam jelajah Rumah Kita, Kita Jaga Grs bagi Dun Banggi dan Tanjong Kapor disini, pagi ini.
Menurut Ben Chong, usaha beliau dalam membantu pelajar Kudat bukanlah sesuatu yang dibuat hanya kerana menjelang pilihan raya, sebaliknya telah dilaksanakan secara konsisten sejak tiga tahun lalu.
Beliau menjelaskan bahawa pada dua tahun pertama beliau tidak mampu berbuat banyak kerana berada di blok pembangkang dan tidak mempunyai peruntukan untuk membantu para pelajar.
“Ketika itu saya seolah-olah ‘Yang Berhormat ayam mati’ kerana tidak mampu menyalurkan bantuan. Namun apabila saya dapat menyertai kerajaan dan memperoleh peruntukan, saya menggunakan peluang itu untuk membantu rakyat,” katanya.
Walaupun pernah menerima gelaran “Yang Berhormat katak” daripada pihak tertentu, beliau menegaskan bahawa apa yang dilakukan hanya demi kesejahteraan rakyat Kudat.
“Saya sanggup digelar apa sahaja asalkan saya dapat membantu rakyat. Lebih baik digelar ‘YB katak’ daripada terus jadi ‘YB ayam mati’,” katanya.
Dalam pada itu, Ben Chong turut berkongsikan inisiatifnya melalui Program Intervensi Bahasa Inggeris bagi meningkatkan penguasaan bahasa tersebut dalam kalangan murid-murid sekolah rendah di Kudat.

Beliau berkata program itu dirangka selepas menyedari tahap penguasaan bahasa Inggeris di kawasan itu masih rendah walaupun pelajar telah melalui pendidikan menengah dan seterusnya universiti.
“Ramai anak-anak kita, walaupun sudah belajar bertahun-tahun, masih tidak yakin bertutur dalam bahasa Inggeris. Sedangkan hari ini nak pesan makanan di Kuala Lumpur pun perlu guna bahasa Inggeris,” katanya.
Atas keprihatinan itu, beliau telah mendapatkan bahan rujukan dan bekerja bersama guru-guru untuk melaksanakan sesi pengajaran bahasa Inggeris selama 10 minit setiap hari di sekolah rendah.
Program perintis itu kini berjalan di lima sekolah rendah, menerima sambutan baik daripada murid dan guru.
Tambah Ben Chong lagi, beliau berjanji untuk memperluaskan pelaksanaan program intervensi itu ke semua sekolah rendah di Tanjong Kapor sekiranya diberikan mandat sekali lagi.
“Bahasa Inggeris adalah kunci kepada masa depan. Saya mahu semua anak Tanjong Kapor mendapat kelebihan ini agar mereka mampu bersaing di peringkat lebih tinggi,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa perhatian terhadap pembangunan modal insan dan pendidikan akan terus menjadi keutamaan dalam pentadbirannya.






