Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Cakap tak serupa bikin: Warisan normalisasi aksi lompat parti – Armizan

Read Time:2 Minute, 13 Second

Oleh Normimie Diun

PAPAR: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali menyifatkan tindakan beberapa pemimpin berpindah parti menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan (DU) Sabah ke-17 sebagai perkara biasa dalam politik, namun dalam masa sama mendedahkan sikap hipokrit pihak tertentu yang sebelum ini menuduh GRS sebagai “parti lompat”.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan mutakhir ini di media sosial dan media arus perdana yang menunjukkan beberapa pemimpin, termasuk daripada Gabungan Rakyat Sabah (Gabungan Rakyat Sabah) dan Barisan Nasional (BN), meninggalkan parti masing-masing untuk menyertai pembangkang seperti Warisan.

“Saya pun tidak tahu apa sebab mereka keluar parti. Tapi kalau sebelum ini Warisan menuduh GRS sebagai sarang ‘katak politik’, perkembangan sekarang membuktikan mereka pula yang menerima dengan tangan terbuka pemimpin-pemimpin yang melompat,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Menurut Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar, tindakan Warisan meraikan kemasukan bekas pemimpin parti lain dengan ‘sambutan permadani merah’ serta mengadakan sidang media khas menunjukkan parti itu kini menormalisasikan budaya lompat parti.

“Orang bilang, cakap tidak serupa bikin. Kalau benda itu tidak mendatangkan manfaat kepada kita, kita tentang. Tapi bila mendatangkan manfaat, kita terima pula. Tapi itu hak masing-masing. Undang-undang pun tidak melarang kerana mereka bukan wakil rakyat,” katanya.

Armizan berkata, beliau tidak mahu mengulas sama ada perpindahan beberapa individu itu disebabkan oleh faktor pemilihan calon, namun menyerahkan kepada masa untuk menjawab persoalan tersebut.

“Tunggu hari penamaan calon nanti. Kalau mereka yang melompat ini akhirnya diumumkan sebagai calon, maka sah lah sebab utama mereka keluar parti adalah kerana mahu bertanding,” katanya.

Beliau turut menganggap situasi itu sebagai satu bentuk ‘pembersihan’ dalam parti, kerana hanya pemimpin yang benar-benar memahami perjuangan GRS akan kekal bersama.

“Kalau ada yang keluar hanya kerana tidak dipilih sebagai calon, maka itu satu proses pembersihan semula. Kita mahu pemimpin yang berjuang demi perjuangan parti, bukan demi kepentingan peribadi,” ujarnya.

Dalam masa sama, Armizan berterima kasih kepada Warisan kerana secara tidak langsung telah menjawab tuduhan lama mereka sendiri terhadap GRS.

“Kalau dulu mereka kata GRS ini sarang orang melompat, sekarang mereka sendiri menormalisasikan perbuatan itu dengan menerima pemimpin parti lain. Dan sebenarnya, ini bukan perkara baru bagi Warisan. Sejak 2018 lagi, kita sudah lihat bagaimana kerajaan berubah tanpa Ketua Menteri meletak jawatan,” katanya.

Armizan menegaskan perjuangan politik seharusnya berteraskan nilai dan keikhlasan, bukan berdasarkan peluang menjadi calon semata-mata.

“Jangan kerana kepentingan diri mahu jadi calon, kita hancurkan perjuangan yang telah dibina bersama sejak awal. Ini soal integriti perjuangan dan takdir Tuhan menentukan siapa akhirnya yang layak mewakili rakyat,” katanya.

Beliau menegaskan perjuangan GRS akan diteruskan oleh pemimpin dan ahli yang benar-benar memahami nilai serta tanggungjawab dalam membangunkan Sabah.

LEAVE A RESPONSE