Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Cadangan luruskan Sungai Padas atasi banjir luar biasa di Beaufort

Read Time:1 Minute, 27 Second

BEAUFORT: Beberapa selekoh tajam di Sungai Padas di sini dicadang untuk diluruskan sebagai langkah jangka panjang mengurangkan risiko banjir yang kerap melanda di daerah ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Ruslan Muharam berkata, ia susulan situasi banjir kali ini yang disifatkan sebagai luar biasa apabila limpahan air Sungai Padas meningkat mendadak sehingga menenggelamkan banyak perkampungan dan memutuskan laluan perhubungan.

“Hari ini kita telah melawat Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon dan setakat ini empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka.

“Seramai lebih kurang 400 keluarga membabitkan hampir 1,400 mangsa telah dipindahkan ke PPS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke pusat pemindahan, di sini pada Khamis.

Ruslan yang juga Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah berkata, pasukan keselamatan kini giat memasuki kawasan terjejas untuk memindahkan mangsa ke PPS yang disediakan.

Menurutnya, cadangan meluruskan selekoh sungai yang tajam itu adalah bagi mempercepatkan aliran air ke muara seterusnya ke laut.

“Kita telah mengenal pasti antara tiga hingga lima lokasi yang perlu diluruskan. Antaranya di Kampung Mungkutong, Kampung Lelangut, Kampung Lago, Kampung Beringin dan Melulugus.

“Jika selekoh tajam ini dapat diluruskan, ia bukan sahaja mempercepatkan aliran air tetapi juga mengurangkan risiko hakisan tebing sungai yang boleh menjejaskan rumah penduduk, jalan raya serta tanaman,” katanya.

Ruslan berkata, beliau akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah bagi meneliti cadangan tersebut supaya ia dapat dilaksanakan secara terancang dan berkesan.

“Insya-Allah kita akan usahakan supaya cadangan ini dapat dipertimbangkan demi mengatasi masalah banjir yang sering berlaku di Beaufort,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan, seramai 4,650 orang melibatkan 1,613 keluarga yang terjejas banjir di Sabah kini berlindung di 24 buah PPS yang diaktifkan. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE