Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Sabah

Bung Tidak Dikhianati, Tapi Dia Mengkhianati Semasa Dalam Kerajaan, Joniston Selar Bung Angkuh – Sabah News

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai, menempelak Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, atas kenyataan terbaharunya yang disifatkan angkuh dan terputus daripada realiti politik Sabah.

“Bung adalah individu terakhir yang layak bercakap soal kesetiaan atau keikhlasan kerana beliau sendiri pernah cuba menjatuhkan kerajaan yang beliau duduki semata-mata kerana mengejar cita-cita politik peribadi.

“Itu sudah cukup menggambarkan siapa dirinya,” tegas Joniston dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Joniston turut menolak tuduhan Bung yang mendakwa GRS telah mengkhianati Barisan Nasional (BN) dan menyifatkan ia sebagai cubaan terdesak untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada peranannya sendiri dalam krisis politik lalu.

“Bung yang sebenarnya bersekongkol dengan Warisan dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) pada Januari 2023 untuk menjatuhkan kerajaan negeri yang dipimpin oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

“Beliau tidak dikhianati, sebaliknya beliau sendiri yang mengkhianat. Walaupun masih dalam Kabinet Negeri, beliau langsung tidak menghormati rakan-rakan pentadbiran yang diketuai oleh Hajiji,” katanya lagi.

Joniston menegaskan bahawa GRS tidak pernah bergantung kepada UMNO untuk terus kukuh dan kini bersedia sepenuhnya untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri akan datang secara bersendirian.

“Sudah-sudahlah dengan sikap angkuh seolah-olah GRS begitu terdesak mahu bekerjasama dengan UMNO-BN. Kami tidak perlukan mereka, malah rakyat pun semakin muak dengan sandiwara politik Bung,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa ketika krisis politik tercetus, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO sendiri enggan menyokong tindakan Bung, malah memilih untuk bersama Hajiji dan Pakatan Harapan (PH).

“Kalau Bung mahu bermuhasabah, tanya diri sendiri, kenapa rakan separti sendiri tinggalkan ‘Langkah Kinabalu’? Kenapa PH lebih percayakan Hajiji berbanding kamu? Jawapannya jelas, kepercayaan rakyat dan wakil rakyat tidak pernah berpihak kepadanya,” katanya.

Sebagai Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS), Joniston turut mengingatkan bahawa partinya tidak akan melupakan penghinaan yang pernah dilemparkan Bung apabila menyamakan PBS sebagai ‘melukut di tepi gantang’.

“Dulu hina kami, sekarang mahu kerjasama? Jangan harap. Sabah bukan pelan simpanan politik kamu. Rakyat Sabah sudah cukup matang untuk menilai siapa yang benar-benar berjuang demi negeri ini dan siapa yang hanya datang ketika tersepit,” katanya tegas.

Joniston menegaskan bahawa GRS kini kekal fokus pada agenda utama, iaitu memperkukuh perpaduan, mengekalkan kestabilan dan terus menyampaikan khidmat terbaik untuk rakyat Sabah.

LEAVE A RESPONSE