Read Time:1 Minute, 8 Second
KOTA KINABALU: Bekas Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee menyifatkan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai pemimpin yang berjaya membina asas kekuatan pasukan melalui kepercayaan dan sokongan penuh kepada pemain dan jurulatih.
Beliau mengakui, kehadiran beliau memimpin Sabah FC beberapa musim bermula 2021 lalu adalah berikutan dipanggil semula untuk berkhidmat di bawah kepimpinannya.
“Beliau merupakan seorang pejuang dan pemimpin. Saya mendapat satu talian yang sangat baik bersama beliau.
“Apabila kita mempunyai seorang pemimpin yang memberi kepercayaan 100 peratus, kita berjaya mencapai sesuatu yang baik.
“Ini menunjukkan Datuk Bung sentiasa memikirkan yang terbaik untuk semua yang berada dalam pasukan,” tambah beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir memberi penghormatan terakhir kepada bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) di Masjid Bandaraya di sini pada Jumaat.
Kim Swee yang kini dilantik sebagai Pengarah Teknikal Akademi Mokhtar Dahari (AMD) berkata, Allahyarham tidak campur tangan dalam hal-hal yang tidak berkaitan dengan prestasi pasukan, tetapi memastikan kebajikan pemain dan jurulatih diutamakan.
Katanya, sumbangan Ahli Parlimen Kinabatangan itu dalam memastikan kesejahteraan pasukan dan membina semangat kerja berpasukan di kalangan pemain dan jurulatih dilihat sebagai faktor penting dalam kejayaan dan prestasi pasukan Sabah sepanjang tempoh kepimpinannya.
Kehilangan beliau kini dirasai sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja untuk pasukan Sabah, tetapi juga untuk sukan negeri dan masyarakat yang menghargai dedikasi beliau dalam membangunkan bola sepak tempatan. – SABAH MEDIA






