Read Time:2 Minute, 11 Second
KUALA LUMPUR : Pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 atau BUDI95 mencatat kejayaan selepas sebulan dilaksanakan, dengan 13.1 juta rakyat Malaysia berjaya membuat transaksi BUDI95.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan itu membabitkan perbelanjaan subsidi petrol bernilai RM2.6 bilion dan subsidi Kerajaan sekitar RM800 juta.
Sebelum ini katanya, terdapat keraguan bahawa ia mungkin menyusahkan rakyat dan mengganggu urusan pembelian petrol selain menggesa Kerajaan menaikkan harga RON95 kepada harga pasaran sepenuhnya seperti disaran Bank Dunia.
Bagaimanapun katanya, Kerajaan menolak pendekatan itu kerana bimbang ia akan meningkatkan kos sara hidup dan menyumbang kepada inflasi.
“Selepas sebulan, maklum balas pengguna amat positif. Proses pembelian petrol hanya melibatkan imbasan MyKad dengan opsyen digital seperti aplikasi Setel dan Touch ’n Go eWallet. Tiada gangguan ketara pada sistem atau capaian internet dilaporkan.
“Selain itu, BUDI95 berjaya menurunkan harga RON95 untuk rakyat kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter sebelum ini. Bukan warganegara dan perniagaan pula membayar RM2.60 seliter, harga tanpa subsidi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Syerleena Abdul Rashid pada sesi pertanyaan-pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.
Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, seramai 16.5 juta rakyat Malaysia layak menerima BUDI95, yang menawarkan sehingga 300 liter sebulan pada harga subsidi.
Namun katanya, data menunjukkan purata penggunaan rakyat hanyalah 98 liter sebulan, iaitu sekitar 33 peratus daripada had, dan hanya 0.7 peratus pengguna mencapai penggunaan maksimum 300 liter.
“Selain itu, Kerajaan telah meluaskan kelayakan BUDI95 kepada nelayan yang tidak mempunyai lesen memandu yang berdaftar dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan agensi Kerajaan Sabah dan Sarawak.
“Setakat 31 Oktober 2025, hampir 24,000 pengguna bot berdaftar tanpa lesen memandu telah diluluskan untuk menerima BUDI95,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, bulan lalu, Kerajaan telah menyediakan had kelayakan tambahan untuk pemandu e-hailing aktif dengan menaikkan had kelayakan daripada 300 liter kepada 600 liter.
Setakat ini katanya, seramai 58,000 pemandu e-hailing layak menerima sehingga 600 liter sebulan.
“Setelah meneliti rayuan pemandu e-hailing berdasarkan kegunaan sebenar, sukacita saya umumkan bahawa Kerajaan bersetuju untuk meningkatkan had kelayakan BUDI95 bagi pemandu e-hailing yang layak kepada sehingga 800 liter sebulan tertakluk syarat perjalanan ditetapkan.
“Pada masa yang sama, Kerajaan turut bersetuju supaya teksi lapangan terbang turut disenaraikan sebagai kenderaan yang layak menerima petrol RON95 bersubsidi di bawah Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS),” katanya.
Menurutnya lagi, Kerajaan akan terus memantau corak penggunaan dan membuat penilaian semula dari semasa ke semasa bagi memperkukuh pelaksanaan dasar penyasaran subsidi RON95.
“Tindakan penguatkuasaan juga akan diambil atas mana-mana pihak yang menyalahgunakan subsidi RON95,” katanya. – SABAH MEDIA






