Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Bot kargo ditahan, juragan gagal tunjuk dokumen sah

Read Time:1 Minute, 8 Second

TAWAU: Cubaan seorang juragan bot kargo mengemudi kapal tanpa dokumen perjalanan sah tidak kesampaian apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), semalam.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, bot terbabit dikesan di 1.9 batu nautika barat daya Batu Tinagat, ketika operasi Ops Pluto Timur, Ops Sejahtera dan Ops Tiris dijalankan.

Timbalan Pengarah Zon (Operasi) Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Norihan Ngah, berkata pemeriksaan mendapati bot berkenaan membawa muatan botol kosong dan dikendalikan oleh lelaki warga Indonesia berusia 30 tahun.

“Hasil pemeriksaan mendapati juragan hanya mengemukakan salinan pasport tanpa permit sah.

“Malah, bot itu juga tiada daftar nama dalam lesen dan juragan gagal memaklumkan pertukaran nakhoda,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, bot bersama juragan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO 1952) kerana melanggar syarat lesen dan Akta Imigresen 1959/63 akibat dokumen perjalanan yang meragukan,” katanya.

Norihan menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengusaha bot yang sengaja mengabaikan undang-undang laut.

“Komuniti maritim diingatkan supaya sentiasa peka terhadap syarat lesen dan tidak mengambil mudah perkara ini.

“Maritim Malaysia akan terus memperkukuh penguatkuasaan terutama di perairan Timur Sabah (ESSZONE),” katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai menyalurkan sebarang maklumat jenayah maritim ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA

LEAVE A RESPONSE