Read Time:1 Minute, 0 Second
TENOM: Seramai 18 mangsa daripada tiga keluarga terpaksa dipindahkan selepas kediaman mereka dinaiki air dalam kejadian banjir di Kampung Sugiang Lama, Kemabong, di sini, malam tadi.
Ketua Balai, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom Mudi Pengiran berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.51 malam sebelum sepasukan anggota dari BBP Tenom digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 29 kilometer dari balai.
Beliau berkata, jentera pertama tiba pada jam 12.01 tengah malam dan mendapati kebanyakan rumah serta jalan raya di kampung berkenaan telah dinaiki air akibat hujan berterusan.
“Pasukan bomba menjalankan operasi penyelamatan dan pemindahan mangsa ke lokasi selamat dengan menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat serta sebuah bot penyelamat.
“Operasi turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, kesemua 18 mangsa berjaya dibawa keluar dari rumah masing-masing dan dikumpulkan di Surau Kampung Bagiang Lama.
Bagaimanapun, usaha untuk menghantar mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Ontoros Kemabong tidak dapat diteruskan berikutan Jalan Kampung Kalamatoi tidak boleh dilalui.
Tambahnya, sebahagian mangsa kemudiannya dihantar ke rumah keluarga terdekat sementara menunggu keadaan mengizinkan.
Katanya, pihaknya akan terus memantau keadaan semasa bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin. – SABAH MEDIA / FOTO JBPM SABAH






