Read Time:1 Minute, 6 Second
KOTA KINABALU : Usaha memperkukuh integriti pentadbiran negeri terus dipertingkat apabila Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah (BIGoNS) menjalankan sesi perkongsian strategik bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Menara Kinabalu, di sini baru-baru ini.
Sesi berkenaan menampilkan dua pakar SPRM iaitu Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli dan Pengarah Komunikasi Strategik SPRM, Hisyam Mohd Yusoff yang berkongsi kepakaran dalam forensik kewangan, strategi pencegahan rasuah dan pengurusan krisis komunikasi.
Mohd Azwan menegaskan kepentingan BIGoNS meneroka pendekatan forensik kewangan sebagai nilai tambah dalam pengesanan kes rasuah yang lebih kompleks.
“Melatih pegawai dalam bidang ini memberi kelebihan strategik kepada BIGoNS untuk mendepani bentuk-bentuk baharu rasuah kewangan,” katanya.
Hisyam pula menekankan keperluan pengurusan komunikasi berkesan bagi memelihara keyakinan masyarakat terhadap usaha kerajaan negeri memerangi rasuah.
“Unit integriti bukan sahaja menjalankan pengesahan isu, tetapi menjadi penggerak naratif tepat kepada rakyat melalui komunikasi strategik,” katanya.
Ketua BIGoNS, Samsakiah Jamil, berkata perkongsian tersebut menjadi pemangkin kepada kerjasama lebih kukuh antara BIGoNS dan SPRM, selaras komitmen memastikan integriti terus menjadi tunjang pentadbiran negeri.
“Kaedah pembetulan dan pendekatan yang dikongsikan sangat relevan dalam memastikan BIGoNS kekal signifikan dalam menyokong agenda integriti Sabah,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa BIGoNS merancang memperluas program serta inisiatif antirasuah bersama SPRM sebagai langkah memperkukuh budaya integriti dalam perkhidmatan awam negeri.
Turut hadir, Penasihat Integriti kepada Ketua Menteri Sabah, Awang Samsul Baharam Bungso.






