Read Time:1 Minute, 23 Second
Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang saksi memaklumkan kepada Mahkamah Koroner bahawa berkawan dengan Allahyarhamah Zara Qairini Mahathir ini ‘best’.
Saksi kanak-kanak ke 24 yang memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan berkata, dia sering berjumpa dan tidur bersama Zara di bilik dorm saksi.
Dalam kenyataan media oleh pasukan guaman ibu Zara, saksi juga menyatakan kadang-kadang dia akan tidur di bilik dorm Zara.
“Saksi berkata dia kenal dan berkawan rapat dengan Zara sejak Februari 2025. Dia tahu Zara mempunyai kawan rapat lain, tetapi saksi tidak rapat dengan kawan rapat Zara lain,” kata Shahlan Jufri.
Menurut Shahlan, saksi juga memberi keterangan pernah melihat Zara menghubungi ibunya sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu.
“Saksi pernah temankan Zara masa dia ‘call’ mamanya, lebih kurang tiga kali. Masa Zara ‘call’ mamanya, saksi berkata Zara akan selalu happy dan bercerita dengan Mama Zara seperti kawan baik, macam ‘best friend’.
“Seingat saksi, Zara akan selalu mengadu dengan mamanya pasal orang yang selalu mengumpat Zara atau orang yang tidak suka Zara. Bila bercerita, Zara tidak akan sebut nama penuh pelajar tersebut dan akan sebaliknya bagi gelaran nama. Contohnya Zara akan sebut ’someone’ atau menggunakan huruf abjad nama pelajar tersebut,” katanya.
Tambah Shahlan, saksi berkata ada satu insiden di mana saksi berjalan dengan Zara balik ke asrama dan mereka terjumpa seorang pelajar senior dan kawannya.
“Saksi nampak pelajar senior ini dengan sengaja melanggar dan membiarkan Zara. Pada ketika itu Zara kelihatan marah dan Zara ceritakan kepada saksi yang pelajar senior tersebut ‘selalu nda puas hati dengan dia’,” katanya.
Turut mewakili ibu Zara ialah Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser, dan Elhanan James.






