Read Time:1 Minute, 4 Second
Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Golongan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas perlu terus memperkukuh peranan mereka sebagai penggerak utama dalam melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan yang memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, peranan beliawanis amat penting dalam membina jati diri, semangat kesukarelawanan serta perpaduan dalam kalangan masyarakat, khususnya di peringkat akar umbi.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Riadah Bersama Beliawanis Cawangan dan Warga Kampung Kinabutan Bukit Batu 6, Jalan Apas, yang diadakan di Dewan Serbaguna Kampung Kinabutan Bukit, di sini kelmarin.
Nizam berkata, beliawanis bukan sahaja menjadi ejen penyebar maklumat dan dasar perjuangan parti, tetapi turut berperanan dalam membantu menjayakan aktiviti sosial, pendidikan, ekonomi dan kebajikan masyarakat.
Menurutnya, penglibatan aktif mereka dalam pelbagai aktiviti komuniti di kawasan Apas dan sekitar Tawau bukan sahaja memperkukuh hubungan antara parti dan rakyat, tetapi turut melahirkan generasi wanita muda yang berdaya saing, berdisiplin serta komited terhadap pembangunan komuniti setempat.
“Kekuatan beliawanis mencerminkan semangat perjuangan rakyat di peringkat akar umbi bersama membina masyarakat yang lebih bersatu, progresif dan prihatin terhadap kesejahteraan bersama,” tambahnya.
Program tersebut turut diisi dengan aktiviti riadah dan sesi ramah mesra bersama penduduk kampung, yang bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dan meningkatkan semangat kerjasama komuniti setempat.