Read Time:1 Minute, 50 Second
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif komited untuk mentransformasikan belia negeri ini ke arah penguasaan kemahiran baharu khususnya dalam bidang keusahawanan dan ekonomi digital.
Menterinya Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, ia adalah bagi melahirkan generasi muda yang berdikari serta berdaya saing.
Katanya, walaupun kementerian itu sering dianggap tidak signifikan oleh sesetengah pihak, namun hakikatnya ia memainkan peranan paling penting dalam membentuk masa depan negeri melalui pembangunan belia.
“Belia adalah masa depan Sabah. Sebab itu saya akan berusaha untuk mentransformasikan belia ini dengan kemahiran-kemahiran terkini, khususnya dalam bidang keusahawanan dan ekonomi digital supaya mereka mampu berdikari,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika mengadakan lawatan hari pertama di pejabatnya di sini pada Rabu.

Nizam berkata, pendekatan kementerian adalah dengan memberi bimbingan dan hala tuju kepada anak muda sebelum membuka ruang untuk mereka bergerak sendiri sebagai usahawan, pekerja mahir serta pencipta peluang pekerjaan.
“Kita mahu belia ini bukan hanya menunggu peluang, tetapi menjadi pencipta peluang. Mereka dipandu oleh kerajaan pada peringkat awal, dan selepas itu mereka bebas melangkah ke hadapan serta menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negeri,” katanya.
Beliau menegaskan, penguasaan teknologi digital, perniagaan dalam talian, serta kemahiran baharu berasaskan ekonomi moden adalah kunci kepada kelangsungan daya saing belia Sabah dalam menghadapi cabaran masa depan.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai sasaran untuk Sukan Malaysia (SUKMA) Nizam berkata, Sabah meletakkan sasaran tinggi untuk berada dalam kelompok tiga negeri terbaik dalam temasya itu yang akan berlangsung tahun depan, selepas menamatkan saingan di kedudukan keenam pada edisi lalu.
Katanya, persiapan awal sedang giat dilaksanakan bagi memastikan pasukan negeri ini tampil lebih mantap, kompetitif dan mampu menyumbang lebih banyak pingat kepada Sabah.
“Insya-Allah kita akan berusaha sebaik mungkin supaya Sabah dapat menyediakan pasukan yang benar-benar mantap, atlet-atlet yang boleh diharapkan untuk menyumbang pingat dan meletakkan Sabah sebagai antara negeri pesaing,” katanya.
Menurut beliau, sasaran minimum yang diletakkan adalah untuk berada dalam kelompok lima terbaik, namun kepimpinan kementerian berharap Sabah mampu melonjak lebih jauh sehingga berada dalam kedudukan tiga teratas.
“Tahun lalu kita berada di kedudukan keenam. Mudah-mudahan pada penyertaan akan datang, di bawah kepimpinan baharu ini, kita dapat meningkatkan prestasi dan berada dalam kelompok top five atau top three,” katanya. – SABAH MEDIA





