Read Time:1 Minute, 29 Second
KOTA KINABALU : Rakyat khususnya golongan belia menzahirkan harapan agar kerajaan yang bakal dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan memberi fokus kepada pembangunan infrastruktur asas, kesejahteraan ekonomi, dan peluang pekerjaan.
Bagi ramai anak muda, pilihan raya kali ini bukan sekadar tentang memilih wakil rakyat, tetapi menentukan hala tuju masa depan Sabah dalam tempoh jangka panjang.
Belia yang mahu dikenali sebagai Veejay,28, berharap agar pilihanraya kali ini lebih ramai belia membuat pilihan tepat.
“Kita sudah nampak kerajaan negeri berusaha memperbaiki infrastruktur dalam masa singkat, tapi saya yakin dalam jangka panjang ia akan terus diperbaiki dan dibangunkan semula,” katanya
Selain itu, beliau mereka turut berharap agar pemimpin yang dipilih nanti menumpukan perhatian terhadap isu asas rakyat, terutama melibatkan sistem perparitan dan keadaan jalan raya yang sering menjadi rungutan penduduk.
“Kerajaan boleh tingkatkan sistem peparitan dan jalan raya. Dua perkara ini sangat penting sebab ia memberi kesan langsung kepada kehidupan harian rakyat,” kata Chester,24.
Dalam pada itu, ramai juga menyeru agar rakyat Sabah kekal memberi sokongan kepada parti-parti tempatan, dengan keyakinan bahawa kepimpinan berasaskan lokal lebih memahami keperluan sebenar negeri ini.
“Saya harap rakyat terus memilih parti tempatan. Marilah kita semua turun mengundi dan terus menyokong Sabah kesayangan kita.
“Antara isu utama yang perlu diselesaikan ialah banjir di kawasan pekan Donggongon yang sering berlaku setiap kali hujan lebat,” kata Damien Samuel,26.
Bagi seorang lagi pengundi muda yang mahu dikenali sebagai Mark,28, berkata, parti tempatan wajar terus menerajui kerajaan negeri kerana lebih dekat dengan denyut nadi rakyat.
“Bagi saya perkara positif tentang kerajaan sekarang ialah ia dipimpin oleh parti lokal. Kalau boleh, biarlah Sabah terus ditadbir oleh orang Sabah sendiri.
“Apa yang perlu diperbaiki ialah penyelenggaraan asas seperti jalan raya — kalau itu dijaga, ekonomi rakyat juga akan bergerak lancar,” katanya