Read Time:1 Minute, 53 Second
Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan Belanjawan Sabah 2026 yang dibentangkan hari ini sebagai belanjawan yang menekankan kesejahteraan rakyat, selaras dengan tema “Memacu Pembangunan, Kesejahteraan Rakyat Diutamakan.”
Belanjawan itu dibentangkan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.
Menurut Hajiji, fokus utama kerajaan pada tahun hadapan ialah menyelesaikan isu asas rakyat secara menyeluruh, khususnya berkaitan bekalan air, jalan raya dan kemudahan elektrik di luar bandar.
“Belanjawan ini mengutamakan kesejahteraan rakyat seperti temanya. Tumpuan juga adalah kepada tiga isu serangkai air, jalan raya dan elektrik luar bandar. Semua ini akan diberi keutamaan oleh kerajaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pembentangan Belanjawan itu.
Hajiji berkata, kerajaan turut memberi perhatian kepada pembelaan rakyat kurang berkemampuan, termasuk bantuan bersasar, pendidikan dan pembangunan modal insan bagi memastikan taraf hidup rakyat terus meningkat.
Terdahulu, Belanjawan Sabah 2026 yang dibentangkan dirangka berasaskan komitmen kerajaan untuk mempercepatkan pembangunan negeri dengan pendekatan inklusif.
Ia memberi tumpuan kepada pemacuan sektor produktif, menangani ketidakseimbangan sosioekonomi, memperkasa modal insan, meningkatkan infrastruktur asas serta memperkukuh kecekapan penyampaian kerajaan.
Kerajaan turut menegaskan bahawa pengurusan perbelanjaan berhemat akan terus diamalkan bagi menutup ruang pembaziran dan ketirisan.
Untuk tahun 2026, anggaran Perbelanjaan Perbekalan berjumlah RM6.402 bilion dengan Anggaran Hasil berjumlah RM6.430 bilion. Meskipun Belanjawan ini mencatatkan sedikit penurunan berbanding tahun 2025, setelah mengambil kira anggaran hasil yang dapat dikutip, Belanjawan Sabah 2026 masih mencatatkan Belanjawan Lebihan (Surplus Budget) sebanyak RM28 juta.
Berdasarkan Sabah Economic Outlook 2026–2027, ekonomi negeri dijangka berkembang sekitar dua peratus, dipacu oleh pemulihan sektor pelancongan, peningkatan perdagangan dan pertumbuhan tenaga kerja.
Pengoperasian Hospital Pakar Universiti Malaysia Sabah pada Januari 2026 serta pelaksanaan projek berimpak tinggi seperti Lebuhraya Pan Borneo Fasa 1B turut dijangka merancakkan pertumbuhan dan mengukuhkan daya saing negeri.
Prestasi ekonomi Sabah turut menunjukkan perkembangan stabil dengan KDNK meningkat kepada RM84.3 bilion pada 2024, disokong sektor perkhidmatan yang menyumbang 52.4 peratus. Meskipun imbangan dagangan lebihan menyusut kepada RM8 bilion berikutan penurunan eksport petroleum mentah dan baja, inflasi kekal rendah pada 1.1 peratus dan perbelanjaan isi rumah terus meningkat.
Purata pendapatan isi rumah bulanan bertambah kepada RM6,498 pada 2024, manakala kadar kemiskinan menurun kepada 17.7 peratus, mencerminkan peningkatan tahap kesejahteraan rakyat.






