Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata Belanjawan Sabah 2026 akan dibentangkan pada 12 Disember ini meskipun hanya mempunyai kira-kira 10 hari untuk melakukan penambahbaikan selepas pilihan raya negeri.
Beliau berkata demikian pada sidang media pertamanya selepas melakukan ‘clock in’ memulakan tugas rasmi di Kementerian Kewangan pada Rabu.
Masidi menjelaskan sebahagian besar draf belanjawan telah disediakan sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus memudahkannya untuk menambah baik dokumen berkenaan dalam tempoh singkat.
“Dengan dedikasi pegawai-pegawai di kementerian, penyediaan belanjawan ini menjadi lebih mudah walaupun masa agak ketat. Insya-Allah kita sedia membentangkan Belanjawan 2026 pada 12 Disember,” katanya.
Menurut beliau, Belanjawan 2026 akan mengekalkan momentum pembangunan menerusi perbelanjaan besar kepada infrastruktur dan kebajikan rakyat, selaras dengan agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Masidi turut mengakui keadaan ekonomi global serta penurunan harga minyak kini sekitar USD67-68 setong berbanding unjuran awal USD70 bakal memberi sedikit kesan kepada anggaran hasil negeri.
“Namun kita akan pastikan usaha menjaga kebajikan rakyat dan memperkukuh pembangunan negeri tidak terjejas,” katanya.






