Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Belanjawan 2026 beri manfaat besar untuk rakyat Sabah

Read Time:1 Minute, 36 Second

KOTA KINABALU:  Belanjawan 2026 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai belanjawan progresif, yang cukup berhemah namun tidak mengabaikan kepentingan pelbagai masyarakat, terutama mereka yang kurang berkemampuan. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan atas pembentangan Belanjawan negara yang progresif.  

“Belanjawan ini, yang memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi negara, telah menyediakan peruntukan untuk Sabah berjumlah RM6.9 bilion yang kita percaya akan memberi manfaat besar kepada negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan siaran langsung pembentangan Belanjawan 2026 oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, pada Jumaat. 

Perdana Menteru turut mengumumkan bahawa peruntukan RM6.9 bilion untuk Sabah tahun depan adalah yang tertinggi pernah diberikan oleh Kerajaan Persekutuan. 

“Belanjawan ini bukan sekadar angka , ia adalah hasil daripada kestabilan politik Sabah di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) , dan keyakinan Kerajaan Persekutuan terhadap kepimpinan negeri. Sabah kini benar-benar diarusperdanakan dalam pembangunan Malaysia,” katanya. 

Dalam Belanjawan  itu, Anwar turut mencadangkan peruntukan sebanyak RM765 juta bagi pembinaan talian elektrik Southern Link yang mana  menurut Hajiji akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Sabah. 

Turut dimasukkan dalam belanjawan ialah kerja-kerja pembaikan infrastruktur yang rosak akibat bencana alam baru-baru ini yang menjejaskan Sabah, termasuk IPG Gaya, dengan kos sebanyak RM220 juta, serta RM39 juta bagi Fasa 2 projek tebatan banjir. 

Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas sokongan berterusan terhadap projek Pan Borneo Sabah dengan peruntukan sebanyak RM1.67 bilion bagi tahun depan. 

Beliau juga memuji komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menunaikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan memenuhi tuntutan Sabah, termasuk dengan menaikkan geran khas interim kepada RM600 juta berbanding RM300 juta pada tahun ini. 

Turut hadir Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong dan pembantu menteri serta pegawai kanan kerajaan negeri. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE