Read Time:1 Minute, 32 Second
Oleh Normimie Diun
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa semua sembilan juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan turut menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bermula tahun 2026, dengan kadar sehingga RM100 sebulan atau RM1,200 setahun.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Menurut Anwar, seramai satu juta penerima STR yang berdaftar di bawah sistem e-Kasih akan menerima bantuan SARA yang lebih tinggi iaitu sehingga RM200 sebulan atau RM2,400 setahun, manakala kategori bujang pula bakal menerima RM600 setahun iaitu RM50 sebulan melalui SARA.
“Bagi isi rumah berpendapatan di bawah RM2,500 sebulan dan mempunyai lima anak, kadar maksimum yang diterima ialah RM4,600, merangkumi STR sebanyak RM2,200 dan SARA sebanyak RM2,400,” katanya.
Anwar turut mengimbas pelaksanaan Penghargaan SARA bernilai RM100 kepada semua rakyat berumur 18 tahun ke atas pada 31 Ogos lalu, di mana lebih 70 peratus bantuan itu telah dibelanjakan.
“Sepertimana janji kerajaan, baki SARA yang tidak digunakan menjelang Disember akan diagihkan semula kepada program membantu rakyat susah,” jelasnya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengumumkan pemberian tambahan sebanyak RM100 SARA kepada 22 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas, yang akan disalurkan pada pertengahan Februari depan bagi membantu persiapan Ramadan dan sambutan Tahun Baharu Cina.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan peruntukan bagi STR dan SARA 2026 adalah sebanyak RM15 bilion, hasil daripada penjimatan yang diperoleh melalui langkah penyasaran subsidi seperti diesel dan RON95.
Menjawab persepsi bahawa bantuan ekonomi kerajaan hanya memihak kepada kaum tertentu, Anwar menegaskan data menunjukkan peningkatan menyeluruh kepada semua kelompok rakyat.
“Bantuan STR dan SARA bagi kaum Melayu meningkat daripada RM4.5 bilion pada 2022 kepada RM7.1 bilion pada 2025. Bagi Bumiputera Sabah dan Sarawak, jumlah naik daripada RM1.1 bilion kepada RM1.9 bilion, manakala kaum India meningkat daripada RM600 juta kepada RM1 bilion,” katanya.