Read Time:1 Minute, 28 Second
TONGOD: Orang ramai diseru mengamalkan perbelanjaan secara berhemah dan berjimat cermat sebagai langkah menghadapi kemungkinan peningkatan kos sara hidup susulan ketidaktentuan ekonomi global.
Pengerusi Kumpulan Sedco, Datuk Masiung Banah berkata, situasi ekonomi dunia yang tidak menentu termasuk konflik di Asia Barat boleh memberi kesan langsung kepada harga bahan api dan barangan keperluan harian.
Menurutnya, pendekatan mengekalkan subsidi minyak secara menyeluruh bukan lagi pilihan mampan memandangkan kemampuan kewangan kerajaan yang terhad.
“Jika krisis ekonomi global berpanjangan dan konflik melibatkan Iran serta Amerika Syarikat dan Israel semakin tegang, tidak mustahil harga petroleum di Sabah, Sarawak dan Semenanjung akan diseragamkan.
“Kenaikan harga minyak dunia sudah tentu akan mendorong peningkatan harga barangan keperluan harian terutama barangan import,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan majlis kesyukuran pilihan raya negeri (PRN-17) serta sambutan Aidilfitri di Kampung Kuala Keramuak, di sini.
Masiung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut menjangkakan subsidi minyak bagi penduduk di Wilayah Borneo berkemungkinan dibekukan sekiranya tekanan kewangan kerajaan terus meningkat.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan masyarakat di Sabah supaya bersiap siaga menghadapi kemungkinan peningkatan kos sara hidup yang sukar dielakkan dalam keadaan ekonomi global semasa.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan anggaran semasa menunjukkan subsidi petrol dan diesel di seluruh negara mencecah kira-kira RM6 bilion sebulan berbanding sekitar RM700 juta sebelum berlakunya konflik tenaga global.
Katanya, kos subsidi bagi Sabah dan Sarawak sahaja dianggarkan sebanyak RM383 juta sebulan.
Sementara itu, bagi tempoh 9 hingga 15 April, harga bahan api di Semenanjung menyaksikan peningkatan dengan RON95 pada RM4.17 seliter dan RON97 RM5.35 seliter, masing-masing naik RM0.40.
Harga diesel pula meningkat kepada RM6.72 seliter dengan kenaikan RM0.70.
Bagaimanapun, harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan masih kekal pada RM2.15 seliter manakala RON95 bersubsidi kekal RM1.99 seliter.






