Read Time:1 Minute, 51 Second
Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang bekas inspektor polis menangis lega apabila Mahkamah Persekutuan hari ini mengetepikan sabitan dan hukuman mati terhadapnya dalam kes pembunuhan seorang ibu tunggal di Keningau, 14 tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai Tan Sri Nallini Pathmanathan bersama Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan membuat keputusan itu selepas sebulat suara membenarkan rayuan Ahmad Rizal Umar, 43, serta memerintahkan beliau dibebaskan dan dilepaskan daripada pertuduhan.
Dalam penghakimannya, Nallini berkata bukti yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan tidak mencukupi untuk membuktikan kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tambahnya, Mahkamah Tinggi gagal menilai keseluruhan keterangan seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 182A Kanun Tatacara Jenayah, dan kegagalan ini adalah serius.
“Berdasarkan alasan penghakiman, jelas bahawa hakim bicara lebih menumpukan kepada hujahan pembelaan tanpa membuat penilaian menyeluruh terhadap semua keterangan.
“Mahkamah Rayuan juga gagal memperbetulkan perkara ini. Oleh itu, adalah jelas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
“Kami dengan ini membenarkan rayuan. Sabitan diketepikan dan tertuduh dibebaskan serta dilepaskan,” katanya.
Ahmad Rizal sebelum ini disabitkan bersalah dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 25 Jun 2020, atas pertuduhan membunuh Kartini Borhan, 27, pada 29 September 2011, antara jam 4 hingga 5 pagi di sebuah rumah di Taman Adika, Keningau.
Ketika kejadian, Ahmad Rizal bertugas sebagai inspektor polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Keningau.
Rayuan Ahmad Rizal terhadap sabitan dan hukuman itu ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 23 September 2024, sebelum beliau membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan.
Ahmad Rizal diwakili peguam Datuk Ram Singh dan Prem Elmer Ganasan yang menjalankan kes tersebut secara pro bono.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Zain Ibrahim mewakili pihak pendakwaan.
Menurut Ram, Ahmad Rizal berhasrat untuk pulang ke Perak bagi menemui keluarga dan anak-anaknya, setelah bertahun-tahun tidak berjumpa sejak pembelaannya dipanggil.
Untuk rekod, Ahmad Rizal didakwa di Mahkamah Majistret Keningau pada 14 Mei 2012. Beliau pada mulanya telah dilepas dan dibebaskan tanpa perlu membela diri oleh Mahkamah Tinggi pada 22 Julai 2014.
Namun, susulan rayuan pihak pendakwaan yang gagal di Mahkamah Rayuan tetapi diterima di Mahkamah Persekutuan, keputusan pembebasan itu akhirnya diketepikan.
Ahmad Rizal kemudian diperintahkan untuk membela diri pada 21 Mac 2018 di hadapan hakim Mahkamah Tinggi lain memandangkan hakim bicara terdahulu telah bersara.






