Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Bekalan beras Sabah mencukupi sehingga sembilan bulan

Read Time:2 Minute, 14 Second

KOTA KINABALU: Bekalan beras di Sabah masih mencukupi dan berada pada tahap selamat walaupun terdapat laporan kekurangan bekalan di beberapa daerah di negeri ini sejak kebelakangan ini.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, setakat ini stok simpanan beras (stockpail) di Sabah masih mampu menampung keperluan rakyat negeri ini.

Menurutnya, jumlah tersebut menjadi lebih stabil apabila digabungkan dengan stok perdagangan, stok yang dipegang oleh pemborong serta bekalan beras tempatan yang ada ketika ini.

“Jika digabungkan dengan stok perdagangan, stok pemborong dan bekalan beras tempatan, jumlah keseluruhan bekalan beras di Sabah boleh bertahan sehingga sembilan bulan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu kekurangan bekalan beras yang dilaporkan berlaku di beberapa daerah di negeri ini.

Jamawi berkata, pihaknya telah berhubung dengan Bernas Sabah yang bertanggungjawab mengurus dan mengedarkan bekalan beras di negeri ini bagi mendapatkan penjelasan mengenai situasi tersebut.

Menurutnya, Bernas memaklumkan bahawa bekalan beras sebenarnya mencukupi dan kekurangan yang berlaku di beberapa daerah hanya bersifat sementara.

“Bekalan beras untuk daerah-daerah tertentu yang mengalami kekurangan kini sedang dalam proses penghantaran oleh pembekal yang dilantik oleh Bernas,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya tidak panik kerana kerajaan sentiasa memantau keadaan bekalan makanan asas di negeri ini.

Dalam masa sama, Jamawi berkata kementeriannya telah mengambil langkah proaktif sejak awal bagi meningkatkan pengeluaran padi dan beras di Sabah.

Beliau berkata, satu sesi libat urus telah diadakan di kawasan jelapang padi Terusan Sapi pada Februari lalu bagi meneliti usaha meningkatkan pengeluaran padi di kawasan berkenaan.

Selain itu, libat urus turut diadakan dengan pihak berkaitan di kawasan jelapang padi Kota Belud bagi membincangkan isu yang menjejaskan pengeluaran padi di kawasan tersebut.

“Hasil perbincangan itu, kita telah mengenal pasti beberapa perkara yang boleh dipertingkatkan bagi meningkatkan hasil padi dan beras di Sabah,” katanya.

Menurut Jamawi, kerajaan juga menerima jaminan peruntukan daripada Kementerian Ekonomi bagi membuka tambahan kawasan sawah padi terbiar seluas 2,000 hektar.

Katanya, kawasan baharu itu melibatkan lokasi di Kota Belud, Terusan Sapi, Telupid, Tambunan, Keningau dan Tenom.

Beliau berkata, pemantauan turut dilakukan apabila beliau bersama pegawai berkaitan turun padang meninjau sawah padi serta sistem pengairan yang dikenal pasti sesuai untuk pembangunan jelapang padi.

Langkah itu jelasnya bertujuan meningkatkan tahap sara diri (SSL) pengeluaran beras Sabah pada masa akan datang.

“Kerajaan negeri melalui kementerian saya akan terus berusaha meningkatkan hasil serta bekalan padi dan beras di Sabah bagi memastikan keperluan rakyat sentiasa mencukupi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui Sabah masih perlu bergantung kepada import beras bagi memenuhi permintaan semasa.

“Kebergantungan kepada import tidak dapat dielakkan kerana keadaan ini telah berlarutan sekian lama, namun kerajaan akan terus memastikan bekalan beras di Sabah kekal stabil dan mencukupi untuk keperluan rakyat,” katanya.

LEAVE A RESPONSE