Read Time:1 Minute, 23 Second
TELUPID: Kerajaan meningkatkan kuota bekalan beras kepada 35,000 tan metrik bulan ini bagi menstabilkan pasaran susulan pembelian panik di Sabah.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, kekurangan bekalan yang berlaku ketika ini sebahagiannya berpunca daripada kegagalan pemborong mengeluarkan stok yang telah dibeli.
Menurutnya, kira-kira 3,000 tan metrik beras yang sudah dibayar masih tersadai di stor Bernas kerana tidak diambil oleh pemborong.
“Saya minta mereka menyediakan keperluan logistik seperti lori untuk mengeluarkan beras yang telah ditempah. Saya tidak mahu perkara ini menjadi satu bentuk sabotaj oleh pemborong untuk menaikkan harga.
“Sebenarnya tiada kenaikan harga kerana subsidi masih kekal,” katanya ketika ditemui media di Ladang Padi Trusan Sapi, di sini, pada Khamis.
Dalam masa sama, kementerian turut melaksanakan audit terhadap pemborong yang disyaki menyorok atau menyeludup bekalan beras subsidi.
Katanya, tindakan itu diambil susulan gangguan bekalan yang menjejaskan rakyat serta kegagalan beberapa pemborong hadir dalam sesi soal siasat.
Tegasnya, mana-mana pemilik lesen yang didapati bersalah bakal berdepan tindakan tegas.
“Ada pemborong yang kita syak terlibat, sebab itu audit dijalankan bagi mendapatkan bukti. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda minimum RM50,000 serta hukuman penjara.
“Kita akan kuat kuasakan tanpa kompromi kerana ia menjejaskan kehidupan rakyat Sabah,” katanya.
Selain itu, kerajaan mengehadkan pembelian kepada dua kampit beras bagi setiap individu sebagai langkah mengawal bekalan.
Jamawi menegaskan, kerajaan komited memastikan stok simpanan beras negeri sentiasa mencukupi sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan.
Pada masa sama, beliau mengingatkan peniaga agar tidak mengambil kesempatan terhadap subsidi kerajaan, terutama ketika harga beras di negara jiran meningkat akibat krisis global.
Katanya, langkah penguatkuasaan akan terus diperkasa bagi menjamin kestabilan bekalan makanan di seluruh Sabah.






