Read Time:1 Minute, 1 Second
BEAUFORT: Beberapa pusat pemindahan akan digunakan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi menampung pertambahan mangsa terjejas banjir di daerah ini susulan situasi banjir yang masih berterusan.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Ruslan Muharam berkata, langkah kesiapsiagaan itu diambil berikutan kapasiti Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon kini telah penuh.
Katanya, PPS yang dijangka diaktifkan itu juga susulan kemungkinan peningkatan jumlah Ketua Isi Rumah (KIR) yang perlu dipindahkan dalam tempoh terdekat.
“Setakat ini, antara dewan yang dikenal pasti dan telah bersedia untuk digunakan ialah Dewan Westwood Lumat, Dewan Persatuan Bisaya Bersatu Sabah serta Dewan DSP DUN Banir.
“Kesemua dewan ini telah dikenal pasti dan berada dalam keadaan siap sedia sekiranya berlaku pertambahan mangsa yang memerlukan pemindahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melawat dan meninjau PPK Selagon di sini pada Ahad.
Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, pembukaan PPS tambahan itu bertujuan memastikan kebajikan, keselamatan dan keselesaan mangsa banjir terus terpelihara, selain mengelakkan kesesakan di pusat pemindahan sedia ada.
Dalam masa sama, beliau berkata, penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan berisiko banjir digesa supaya sentiasa peka dengan perkembangan semasa serta mematuhi arahan pihak berkuasa agar proses pemindahan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan selamat. – SABAH MEDIA





