KOTA KINABALU: Beberapa kawasan di Sabah berisiko mengalami banjir bermula hari ini hingga esok susulan amaran hujan berterusan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Menurut Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), kemungkinan banjir dijangka berlaku di beberapa lembangan sungai terutama di kawasan rendah yang mudah dinaiki air.
Antara kawasan yang berisiko ialah di daerah Sandakan melibatkan beberapa lembangan sungai termasuk Sungai Sendala, Sungai Seguntor, Sungai Segaliud, Sungai Semawang, Sungai Manila, Sungai Kolapis/Muanod serta Sungai Labuk.
Selain itu, daerah Kudat turut diramal berdepan kemungkinan banjir melibatkan lembangan Sungai Tegarangan, Sungai Loro dan Sungai Indrasan.
PRABN memaklumkan ramalan tersebut dikeluarkan susulan amaran hujan berterusan tahap waspada yang berpotensi menyebabkan peningkatan paras air sungai di kawasan terbabit.
Sehubungan itu, penduduk yang tinggal berhampiran kawasan sungai serta kawasan rendah dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya berlaku sebarang perubahan cuaca atau situasi banjir.
Orang ramai juga disarankan untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan situasi banjir melalui laman sesawang rasmi publicinfobanjir.water.gov.my atau aplikasi MyPublicInfoBanjir.






