Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Beberapa kampung di Kota Belud dinaiki air, penduduk dinasihat bersiap sedia berpindah

Read Time:1 Minute, 31 Second

KOTA BELUD: Beberapa kampung di daerah ini mula terjejas banjir susulan hujan berterusan, menyebabkan laluan hanya boleh dilalui oleh kenderaan tinggi manakala beberapa buah rumah dilaporkan telah dinaiki air.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kota Belud, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kota Belud dalam satu kenyataan memaklumkan, situasi itu dikesan hasil pemantauan kawasan hotspot banjir yang dijalankan oleh APM PDPA Kota Belud hari ini.

Antara kawasan yang dipantau ialah Kampung Sumbilingon Pituru, Kampung Marajah, Kampung Song-Song, Dan Kampung Suang Punggur.

Menurut kenyataan itu, trend hujan pada sebelah petang serta keadaan Sungai Abai yang semakin cetek menyebabkan limpahan air sungai bertakung di kawasan kampung tanah rendah.

Antara kampung yang terjejas ialah Kampung Suang Punggur, Kampung Pituru, Kampung Song-Song dan Kampung Marajah.

Di Kampung Suang Punggur dan Kampung Pituru, laluan utama kampung hanya boleh dilalui oleh kenderaan tinggi, manakala beberapa laluan kampung tidak boleh dilalui langsung. Beberapa buah rumah turut dilaporkan telah dinaiki air.

Keadaan hampir sama turut dilaporkan di Kampung Song-Song yang hanya boleh diakses menggunakan kenderaan tinggi, sementara Kampung Marajah masih boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan, namun beberapa buah rumah telah dinaiki air.

Bagaimanapun, Kampung Suang Kina dilaporkan masih boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan dan setakat ini tidak menunjukkan peningkatan paras air yang membimbangkan.

Pemantauan sekitar jam 9.26 pagi tadi menunjukkan paras air Sungai Abai menurun setakat ini, namun keadaan cuaca masih mendung dan berisiko sekiranya hujan berterusan.

Susulan itu, anggota APM telah menasihati penduduk di kawasan terjejas agar sentiasa bersiap sedia untuk berpindah ke tempat selamat sekiranya keadaan bertambah buruk, selain mengelakkan pergerakan melalui laluan kampung yang ditenggelami air bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

APM memaklumkan pemantauan di kawasan berisiko akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan penduduk sentiasa terjamin.

Setakat laporan ini dikeluarkan, cuaca di kawasan yang dipantau dilaporkan tidak hujan.

LEAVE A RESPONSE