Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Bazar Durian Sabah : Peminat ‘raja buah’ nikmati buah terus dari ladang

Read Time:1 Minute, 21 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Pelancong dan penduduk tempatan kini berpeluang membeli durian pada harga ladang menerusi penganjuran Bazar Pelancongan Durian Sabah yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Jamawi Jaafar berkata, bazar yang berlangsung di Segama Waterfront itu membolehkan pengguna menikmati buah segar terus dari kebun tanpa perantara.

Katanya, sebanyak 55 gerai dibuka sepanjang acara, termasuk gerai yang menjual minuman, makanan dan produk industri makanan tempatan.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 14 gerai khusus buah-buahan, kebanyakannya diusahakan oleh ahli-ahli Persatuan Penanam Durian Dan Buah Tropika (MASDA).

“Konsep daripada kebun terus kepada pengguna membolehkan pengunjung menikmati harga lebih rendah.

*Biasanya Musang King dijual lebih RM80 di pasaran, tetapi di sini hanya RM55 hingga RM65, kerana ia harga ladang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Bazar Pelancongan Durian Sabah di sini pada Sabtu.

Jamawi berkata, pendekatan itu bukan untuk menyaingi peniaga durian sedia ada, sebaliknya mahu melengkapkan ekosistem jualan durian yang telah wujud berpuluh tahun.

Malah katanya, kawasan jualan sedia ada turut laris walaupun bazar berlangsung.

Beliau berkata, inisiatif ini bukan sahaja memberi pulangan lebih baik kepada pemilik ladang, tetapi juga memastikan masyarakat menikmati harga yang lebih berpatutan, sekali gus merancakkan industri durian Sabah secara menyeluruh.

“Pelancong bukan sahaja dapat menikmati buah segar pada harga terbaik, malah dapat melihat sendiri proses dan kualiti durian yang ditanam secara profesional,” katanya.

Tambahnya, selain harga yang berpatutan, bazar durian ini juga mempromosikan agropelancongan Sabah menerusi risalah Sabah Agro Tourism Edisi Kedua yang menampilkan 30 kebun melibatkan pengusaha durian dan buah tropika dari lokasi seperti Tamparuli, Menggatal, Papar, Tenom dan Tawau. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE