Read Time:2 Minute, 8 Second
Oleh: Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Bantuan geran RM500 di bawah Program Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS) bukan sekadar suntikan modal kecil bagi seorang usahawan wanita di Kampung Inderasabah, tetapi menjadi pemangkin untuk terus mengukuhkan perniagaannya demi menyara keluarga.
Saliza Baki, 40, yang telah lama berniaga pelbagai jenis makanan termasuk kuih-muih tradisional dan kek berkata, bantuan itu digunakan sepenuhnya sebagai modal tambahan untuk memperkembangkan jualan roti canai yang kini menjadi tumpuan pelanggan tetapnya di kawasan tersebut.
“Saya memang lama sudah berniaga roti canai, kek dan macam-macam lagi. Jadi selepas dapat geran RM500 itu, Alhamdulillah saya buat tambah modal.

“Roti canai ini tidak banyak kos, bolehlah saya teruskan jualan setiap hari,” katanya ketika ditemui Sabah Media di gerainya di Padang Inderasabah.
Saliza yang berkahwin dan mempunyai dua anak berkata, bantuan itu banyak membantunya menampung keperluan harian keluarga memandangkan suaminya kini tidak bekerja.
“Daripada hasil berniaga ni, bolehlah saya bayar keperluan anak sekolah, bil lampu, dan sedikit sebanyak bantu keluarga. Sekurang-kurangnya dapat juga tambah pendapatan,” ujarnya.
Menurutnya, beliau dihubungi sendiri oleh pihak berkaitan yang memaklumkan beliau antara penerima geran di bawah SYABAS selepas dikenalpasti aktif berniaga oleh penduduk dan ketua kampung.
“Mereka tahu saya memang peniaga di kampung ni. Lepas tu saya dapat panggilan, mereka kata saya berpotensi terima bantuan RM500 tu. Syukur, rezeki saya,” ujarnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titingan, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan atas keprihatinan membantu penduduk setempat di kawasan tersebut.
Justeru, Saliza turut berharap agar kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan meneruskan bantuan seperti SYABAS memandangkan ia banyak membantu peniaga kecil sepertinya menghadapi kos bahan mentah yang semakin meningkat.
“Sebagai peniaga kecil, memang kami perlukan bantuan kewangan macam ni untuk beli bahan-bahan. Harga barang sekarang tinggi. Kalau boleh, biarlah bantuan begini diteruskan,” jelasnya.
Kini, Saliza menjalankan perniagaan roti canainya setiap Isnin hingga Jumaat di Padang Inderasabah, manakala pada hujung minggu beliau berniaga di kawasan berdekatan.
Program SYABAS merupakan inisiatif kerajaan negeri Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, bagi memperkasa ekonomi belia melalui kursus kemahiran, pemberian geran dan latihan keusahawanan.
Setiap tahun, sebanyak 2,500 peluang permohonan dibuka kepada usahawan muda berumur 18 hingga 40 tahun yang telah menjalankan perniagaan berlesen.
Bagi Saliza, bantuan kecil ini bukan sekadar angka di atas kertas, ia adalah bukti bahawa keprihatinan kerajaan mampu mengubah kehidupan peniaga kecil di akar umbi.
“Kalau ada lagi bantuan baru, Insya-Allah saya mahu mohon lagi. Dapat tambah modal, dapat terus berniaga,” katanya sambil tersenyum penuh harapan. – SABAH MEDIA






