Read Time:1 Minute, 9 Second
TAMBUNAN: Sekolah Agama Negeri (SAN) Pekan Tambunan yang musnah dalam kebakaran Ahad lalu menerima sumbangan berjumlah RM260,000 daripada Kerajaan Negeri, Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).
Dari jumlah itu, sumbangan sebanyak RM200,000 daripada Kerajaan Negeri adalah untuk pembelian kerusi, meja dan kelengkapan sekolah.
Selain itu, sebanyak RM50,000 adalah sumbangan daripada YKS serta RM10,000 daripada MUIS.

Sumbangan itu diserahkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang diterima Guru Besar, Ustaz Ahmad Subri Janing semasa lawatannya ke sekolah berkenaan hari ini.
YKS turut menyerahkan bantuan dan sumbangan kepada 20 pelajar asrama dan 100 murid yang terjejas akibat kebakaran.
Sementara itu, Hajiji berkata sudah tiba masanya SAN Pekan Tambunan yang ditubuhkan pada tahun 1970-an mempunyai bangunan tetap sendiri dan atas permintaan SAN saya mencadangan supaya sekolah dibina semula.
“Kerajaan Negeri sekarang akan meluluskan keperluan pembiayaan membina sekolah baharu dan saya datang sendiri hari ini untuk melihat bagaimana kami boleh membantu,” katanya.

Dua bangunan termasuk bilik darjah dan asrama musnah sepenuhnya, manakala kuarters guru sekolah turut musnah dalam kebakaran yang berlaku pada petang 12 Oktober itu.
Turut hadir ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Ariffin Mohd Arif, Pegawai Daerah Sobitun Makajil, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Datuk Jumain Abdul Ghani dan Pengarah YKS Datuk Diyanah Abdullah. – SABAH MEDIA