Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Sabah

Bantu Kurangkan Gangguan Bekalan Air, Matlamat Utama JETAMA Bawa Asiawater ke Sabah  – Sabah News

KOTA KINABALU: Penggunaan teknologi baharu dalam sistem pengurusan air mampu mengurangkan gangguan bekalan air yang sering berlaku di Sabah, kata Pengerusi Jetama Water Sdn. Bhd., Liau Fui Fui.

Menurut beliau, persidangan dua hari itu merupakan langkah penting ke arah memperkenalkan sistem teknologi moden dalam sektor air, termasuk penyelesaian kepada isu tekanan rendah dan gangguan bekalan.

“Dengan adanya teknologi seperti ini, kita boleh tingkatkan tekanan air dan pendekkan tempoh gangguan yang dihadapi oleh pengguna. Inilah antara matlamat utama kami membawa Asiawater ke Sabah buat kali pertama,” katanya ketika ditemui media sempena Persidangan Asiawater Sabah 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini.

Liau berkata, Jetama Water sebagai rakan strategik dan penaja utama persidangan berkenaan melihat potensi besar dalam penganjuran ini untuk bukan sahaja menambah baik sistem air negeri, tetapi juga memberi kesan positif kepada industri pelancongan Sabah.

Asiawater Sabah 2025 yang berlangsung selama dua hari menghimpunkan lebih 2,000 peserta dan lebih 40 reruai pameran dengan penyertaan dari pelbagai negara di Asia Tenggara seperti Vietnam, Filipina, dan Indonesia.

“Peserta terdiri daripada pemain industri air, terutamanya dari luar Sabah. Mereka membawa pelbagai teknologi baharu yang boleh kita pertimbangkan untuk diguna pakai di sini,” jelasnya.

Ditanya sama ada Jetama akan mengadaptasi teknologi yang diperkenalkan, beliau berkata perkara itu akan dibincangkan bersama pasukan teknikal syarikat bagi menilai kesesuaian dan kebolehgunaan di lapangan.

“Kita tidak menolak kemungkinan untuk melaksanakan teknologi ini jika ia terbukti dapat membantu meningkatkan kecekapan sistem bekalan air negeri,” ujarnya.

Liau turut menyatakan keyakinannya bahawa program seperti ini wajar diteruskan pada masa akan datang, bukan sahaja dalam sektor air tetapi juga dalam bidang tenaga hijau, selari dengan hasrat Jetama untuk menyokong pembangunan mampan di Sabah.

Asiawater Sabah 2025 menjadi platform penting untuk pemindahan teknologi, perkongsian ilmu dan jalinan kerjasama serantau ke arah memperkukuh sistem utiliti air negeri secara menyeluruh.

LEAVE A RESPONSE