Read Time:2 Minute, 47 Second
Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Pihak bank digesa agar mempermudahkan urusan pinjaman perumahan bagi membolehkan lebih ramai rakyat Sabah memiliki rumah sendiri, khususnya di kawasan bandar yang menawarkan akses kepada kemudahan asas dan peluang ekonomi.
Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah (KKTP), Datuk Fairuz Renddan berkata, walaupun banyak projek perumahan mampu milik dibangunkan, kekangan utama yang sering dihadapi pembeli adalah kelulusan pinjaman daripada institusi kewangan.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Grand Meridian, sebuah projek kondominium bertingkat tinggi oleh Skye Vista Development Sdn. Bhd., di sini, hari ini.
Menurutnya, Kerajaan Negeri melalui KKTP sentiasa menyokong pemaju swasta yang berkeupayaan serta mempunyai rekod baik dalam menyiapkan projek perumahan mengikut spesifikasi dan garis masa ditetapkan.
“Daripada pihak kerajaan, kita sentiasa bersedia membantu dan mempermudahkan urusan yang diperlukan pemaju, sama ada berkaitan tanah, deposit premium (DP) dan perkara-perkara lain, selagi ia mematuhi peraturan dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Fairuz berkata, pembangunan perumahan juga selari dengan aspirasi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), yang antara lain memberi penekanan kepada kesejahteraan rakyat dan keperluan asas termasuk pemilikan rumah.
“Kita mahu, dalam tempoh pentadbiran ini, lebih ramai rakyat Sabah dapat memiliki rumah sendiri. Jika boleh, satu keluarga, satu rumah, khususnya di kawasan bandar.
“Kita faham ramai yang masih menyewa dan ada juga yang beranggapan mereka tidak mampu membeli rumah, sedangkan sebenarnya harga yang ditawarkan bagi projek seperti ini adalah berbaloi dengan lokasi serta kemudahan sekitarnya,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan isu kelulusan pinjaman perlu diberi perhatian serius kerana ia boleh menjejaskan kadar jualan walaupun rumah yang dibina adalah mampu milik.
“Kalau unit rumah banyak dibina tetapi pinjaman bank terlalu sukar diluluskan, akhirnya rumah tidak terjual dan ini tidak memberi manfaat kepada mana-mana pihak,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan lanjut dengan institusi kewangan dan agensi berkaitan bagi mencari mekanisme yang lebih fleksibel, khususnya mengambil kira situasi ekonomi dan corak pendapatan rakyat di Sabah yang berbeza berbanding negeri lain.
“Saya akan mencadangkan kepada menteri saya supaya kita mengadakan perbincangan semula dengan pihak bank dan agensi berkaitan pinjaman perumahan. Kita faham, di Sabah ini keadaannya agak berbeza berbanding di Kuala Lumpur, dan perkara itu perlu diambil kira,” katanya.
Fairuz berkata, melalui Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) di bawah KKTP, kerajaan negeri turut menyediakan skim pinjaman serta membina pelbagai projek rumah mampu milik, termasuk inisiatif di bawah SMJ.
Beliau menjelaskan konsep rumah mampu milik tidak semestinya tertumpu kepada harga rendah semata-mata, sebaliknya bergantung kepada kemampuan kewangan pembeli untuk mendapatkan kelulusan pinjaman.
“Rumah mampu milik ini bukan hanya soal harga murah. Rumah berharga RM600,000 juga boleh dianggap mampu milik sekiranya pembeli berkemampuan, lokasinya strategik berhampiran bandar dan kemudahan lengkap,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan kerjasama lebih luas antara kerajaan negeri dan pemaju, termasuk pemaju swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), bagi membangunkan lebih banyak projek perumahan berkualiti selaras dengan agenda SMJ.
Terdahulu, Fairuz merakamkan penghargaan kepada Skye Vista Development Sdn. Bhd. atas jemputan merasmikan pelancaran Grand Meridian, yang disifatkan sebagai simbol keyakinan sektor swasta terhadap potensi pertumbuhan Kota Kinabalu.
Beliau berkata, Grand Meridian melibatkan pembangunan dua blok kondominium setinggi 32 tingkat dengan keseluruhan 535 unit kediaman, yang direka untuk memenuhi keperluan gaya hidup moden tanpa mengabaikan aspek keselesaan, keselamatan dan kelestarian.
Hadir sama, Pengarah Urusan Skye Vista Development Sdn. Bhd., Pong Vui Seng dan Pengurus Pemasaran dan Jualan, Clement Chu.






