Read Time:1 Minute, 5 Second
KOTA KINABALU: Mangsa terjejas banjir di Sabah terus mencatatkan peningkatan kepada 4,652 orang melibatkan 1,799 keluarga setakat jam 4 petang tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan, daerah Pitas mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 2,013 orang melibatkan 787 keluarga.
Semua mangsa yang terjejas di Pitas kini ditempatkan di 10 buah PPS yang diaktifkan di daerah itu.
Manakala di Kota Marudu, seramai 1,923 orang mangsa melibatkan 778 keluarga masih kekal berlindung di empat buah Pusat Penempatan Sementara (PPS) yang diaktifkan.
Selain itu, daerah Paitan turut mencatatkan peningkatan jumlah mangsa seramai 716 orang melibatkan 234 keluarga yang kini berlindung di 11 buah PPS yang diaktifkan.
Di Kota Marudu, antara PPS yang dibuka ialah SMK Tandek 2, SMK Tandek, SK Taritipan dan SMK Bandau yang menempatkan ratusan mangsa.
Di Pitas pula, PPS melibatkan SK Rukom Ulu, Dewan Majlis Daerah, Dewan Kusilad, Dewan Kabatasan, SK Salimpodon Darat, SK Pekan II, SK Dandun, Dewan Kg Senaja, Dewan Terbuka Kanibongan dan SMK Pitas dengan sebahagiannya mencatat peningkatan jumlah mangsa.
Sementara itu di Paitan, PPS yang dibuka termasuk SMK Simpangan, Dewan Binsulung, Masjid Kandangan, PPS Komuniti Batangon Darat, Dewan Serbaguna Kg Tangkarason, PPS SK Lubang Buaya, Dewan Kg Sungai-Sungai, Rumah Pengerusi JKKK Kg Cocos, SMK Pamol serta Balai Raya Kampung Pinampadan selain Kg Rancangan Cocos.






