Read Time:1 Minute, 23 Second
Oleh Raul G
KIULU: Pembinaan Bangunan Urusetia Daerah Kecil Kiulu dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun 2027, demikian kata penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai.
Joniston berkata, kerja-kerja penyediaan tapak projek giat dilaksanakan selepas meninjau dan menerima taklimat daripada pihak kontraktor berhubung pelaksanaan fasa awal pembinaan bangunan berkenaan.
“Pembinaan bangunan urusetia ini sudah lama dinantikan penduduk Kiulu dan ianya akan menjadi antara pembangunan penting bagi memperkukuh urusan pentadbiran serta perkhidmatan kerajaan di Kiulu.
“Bangunan ini akan terus menjadi mercu tanda usaha merancakkan rancangan pembangunan di Kiulu, selain membolehkan pengurusan daerah kecil dilaksanakan dengan lebih tersusun serta mempercepatkan proses pelaksanaan pembangunan lain di kawasan ini,” katanya ditemui, hari ini.
Turut hadir, Pegawai Daerah Kecil Kiulu, Leprus Esuva Giswa dan Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Tuaran, Farini Awang.
Kiulu, dinaikkan taraf sebagai Daerah Kecil pada awal tahun 2019 dan menggunakan ruang di belakang Dewan Masyarakat OKK Rampas sebagai pejabat sementara.
Joniston menambah, pembangunan urusetia menjadi sebahagian daripada perancangan menyeluruh bagi memperkasa Pekan Kiulu dan kawasan sekitar termasuk pembangunan infrastruktur, kemudahan awam, dan sokongan kepada ekonomi tempatan.
Sehubungan itu, Joniston turut mengadakan pertemuan bersama pemimpin akar umbi pada Selasa bagi membincangkan persiapan menghadapi pilihan raya serta menilai kemajuan pelbagai inisiatif pembangunan yang sedang dijalankan di kawasan ini.
Difahamkan, perbincangan turut menekankan keperluan kesinambungan dalam pelaksanaan rancangan pembangunan sedia ada bagi memastikan manfaat diterima secara berterusan oleh penduduk Kiulu.
“Bagi kita, kesinambungan amat penting dan segala perancangan yang membawa manfaat tidak boleh terhenti separuh jalan.
“Apa yang sudah dirancang dan sedang dilaksanakan, perlu diteruskan agar Kiulu terus melangkah ke hadapan sebagai sebuah kawasan luar bandar yang maju, tersusun, dan berdaya saing,” ujar beliau.






