Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Balai Cerap Al-Biruni jadi pusat pendidikan falak dan penyelidikan


Read Time:1 Minute, 21 Second

PUTATAN: Balai Cerap Al-Biruni Tanjung Dumpil di sini, bukan sahaja berfungsi sebagai lokasi rasmi cerapan hilal, tetapi memainkan peranan penting dalam bidang pendidikan dan penyelidikan falak di negeri Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, balai cerap ini berpotensi besar untuk terus dibangunkan sebagai pusat pendidikan falak dan astronomi Islam yang lebih komprehensif,

“Balai cerap ini juga boleh dibangunkan sebagai pusat penyelidikan yang berdaya saing dan berteknologi tinggi, serta destinasi pelancongan ilmu (astro-tourism) yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

“Bagi merealisasikan hasrat ini, aspek infrastruktur perlu dilengkapkan dengan kemudahan dan memenuhi standard yang sewajarnya. 

“Ini termasuklah penambahbaikan fasiliti cerapan, ruang pameran interaktif, dewan pembelajaran, kemudahan pengunjung serta akses yang lebih mesra pelancong.

“Kerajaan negeri sedia membantu agar balai cerap ini mampu muncul sebagai antara ikon pelancongan ilmu di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Pelancaran Rukyah Hilal Rasmi (Ramadan, Syawal dan Zulhijjah) Peringkat Negeri Sabah Tahun 1447H/2026M di sini pada Selasa.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Hajiji turut yakin dengan perancangan yang strategik dan kerjasama daripada pelbagai pihak, balai cerap ini bukan sahaja menjadi kebanggaan umat Islam, bahkan menjadi kebanggaan seluruh rakyat Sabah.

“Semoga generasi muda yang hadir pada hari ini dapat melihat bahawa bidang falak dan astronomi mempunyai ruang yang luas untuk diterokai, dan mampu menjadi satu kerjaya yang menyumbang kepada pembangunan ummah dan negara” katanya.

Katanya, majlis yang berkait rapat dengan ibadah umat Islam seperti ini bukan sahaja mempunyai nilai spiritual yang tinggi, bahkan mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan urusan agama Islam diurus dengan penuh tanggungjawab, profesional dan berintegriti.

LEAVE A RESPONSE