Read Time:2 Minute, 2 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Sekumpulan belia Sabah akan menganjurkan “Bah-Bincang Kita, Sabah Pre-Election Youth Forum 2025” pada 8 November ini bagi memupuk politik berasaskan integriti, tadbir urus yang baik serta penyelesaian sebenar untuk rakyat.
Forum tersebut dianjurkan secara bersama oleh gabungan pertubuhan belia dan masyarakat sivil yang tidak berpihak politik, termasuk Community Empowerment Initiative Sabah, Gerakan Anak Sabah, Hai Mandak, Sabah Youth Movement, SEEN, SPADE dan The Sip Sip Show.
Acara ini bertujuan menetapkan penanda aras baharu bagi wacana politik di Sabah, dengan menghimpunkan pemimpin belia daripada parti-parti politik utama bersama 120 peserta muda yang dijemput daripada pelbagai organisasi dan rangkaian belia untuk mengadakan dialog membina, rasional dan berasaskan isu mengenai masa depan negeri.
Walaupun acara ini akan dijalankan secara tertutup, pihak penganjur menggalakkan penyertaan awam melalui siaran langsung di Facebook, YouTube, TikTok dan Instagram bagi memperluas penglibatan belia di seluruh negeri.
Dalam kenyataan bersama hari ini, pihak penganjur berkata, inisiatif ini bertujuan memupuk budaya politik berasaskan dasar di Sabah, menggantikan retorik kosong dan politik perpecahan dengan perbualan mengenai tadbir urus, pembangunan dan masa depan bersama rakyat muda negeri ini.
“Ini lebih daripada sekadar acara; ia adalah peluang bersejarah untuk belia Sabah membentuk sejarah politik. Kami ingin menunjukkan bahawa penglibatan politik boleh bersifat cerdas, berhemah, dan berteraskan tanggungjawab bersama terhadap masa depan Sabah,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan sama, “Bah-Bincang Kita, Sabah Pre-Election Youth Forum 2025” juga berhasrat menginspirasikan generasi muda Sabah supaya melihat politik bukan sebagai perebutan kuasa, tetapi sebagai platform untuk kerjasama, kreativiti dan penyelesaian masalah.
“Ia adalah satu seruan kepada warganegara muda untuk bangkit , belajar, memimpin, dan menuntut semula peranan mereka dalam membentuk masa depan negeri yang mereka cintai.”
Wakil belia daripada GRS, DAP, PKR, MUDA, PIS, SAPP, STAR, UPKO dan Warisan telah mengesahkan penyertaan, dengan setiap peserta diberi masa dan ruang sama rata untuk membentangkan visi serta pandangan mereka.
“Tiada hierarki, tiada berat sebelah, hanya idea, visi dan dasar,” tegas penganjur.
Bagi menegakkan prinsip ketidakberpihakan dan tanggungjawab komuniti, forum ini dibiayai melalui sumbangan orang ramai (crowdfunding).
Pendekatan ini menjamin acara kekal bebas, telus dan digerakkan oleh rakyat. Butiran kewangan penuh akan dibentangkan semasa sesi pembukaan dan diumumkan kepada umum selepas acara bagi memastikan akauntabiliti sepenuhnya.
Dengan lebih 55 peratus pengundi Sabah kini berumur bawah 40 tahun, forum ini diadakan tepat pada masanya. Ramai pengundi muda akan mengundi buat kali pertama, dan acara ini bertujuan membekalkan mereka dengan ilmu dan keyakinan untuk membuat pilihan yang bermaklumat.






