Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Awas !! Penyakit Jantung Iskemik Punca Kematian Utama di Malaysia

Read Time:4 Minute, 19 Second

Oleh Wan Azrain Adnan

KUALA LUMPUR, Penyakit Jantung Iskemik atau Ischaemic Heart Diseases dikenal pasti sebagai punca kematian utama di Malaysia pada tahun 2024, manakala kes kematian akibat bunuh diri terus menunjukkan trend peningkatan, menurut statistik rasmi negara.

Berdasarkan Perangkaan Sebab Kematian Malaysia 2025 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) baru-baru ini, jumlah keseluruhan kematian pada tahun 2024 meningkat sebanyak satu peratus kepada 198,992 kematian berbanding 196,965 kematian pada tahun 2023. 

Statistik tersebut menunjukkan kematian dalam kalangan lelaki meningkat daripada 112,293 kepada 113,866 orang, manakala kematian wanita meningkat daripada 84,672 kepada 85,126 orang.

Menurut laporan itu, hampir 25 peratus daripada keseluruhan punca kematian negara pada tahun 2024 melibatkan dua penyakit utama, iaitu Penyakit Jantung Iskemik (13 peratus) dan Pneumonia atau radang paru-paru (11.5 peratus).

Sepanjang tempoh lima tahun dari 2020 hingga 2024, Penyakit Jantung Iskemik direkodkan sebagai punca kematian utama bagi tiga tahun, selain Pneumonia pada 2023 dan COVID-19 pada 2021.

DOSM turut melaporkan bahawa dalam tempoh 2001 hingga 2024, jumlah kematian akibat Penyakit Jantung Iskemik melonjak lebih 230 peratus, daripada 5,207 kematian pada 2001 kepada 17,421 kematian pada 2024. Dalam tempoh sama, kematian akibat Pneumonia meningkat hampir 550 peratus, daripada 2,374 kepada 15,332 kematian.

Penyakit Jantung Iskemik berlaku akibat penyempitan arteri yang mengurangkan bekalan darah ke jantung, manakala Pneumonia merupakan jangkitan pada tisu paru-paru yang boleh disebabkan oleh virus, bakteria, kulat, tuberkulosis dan pelbagai agen lain.

Sebagai perbandingan, punca kematian utama di beberapa negara lain pada 2023 ialah kanser di Singapura, Thailand, Vietnam, Jepun, Kanada dan Australia; Penyakit Jantung Iskemik di Filipina dan Australia; Penyakit Kardiovaskular di Brunei; serta Demensia dan Penyakit Alzheimer di United Kingdom.

Dari segi jantina, Penyakit Jantung Iskemik merupakan punca kematian utama dalam kalangan lelaki dengan kadar 15.3 peratus, manakala Pneumonia menjadi punca utama kematian wanita dengan kadar 12.4 peratus.

Laporan itu turut menunjukkan perbezaan punca kematian utama mengikut etnik. Dalam kalangan etnik Melayu, punca kematian utama ialah Penyakit Jantung Iskemik (13.9 peratus), diikuti Pneumonia (11.3 peratus). Corak hampir sama direkodkan bagi etnik India dengan Penyakit Jantung Iskemik (17.6 peratus) dan Pneumonia (11.0 peratus).

Sebaliknya, bagi etnik Cina, Pneumonia menjadi punca kematian utama (12.7 peratus), diikuti Penyakit Jantung Iskemik (11.6 peratus).

Di peringkat negeri dan wilayah, sebanyak 13 negeri merekodkan Penyakit Jantung Iskemik sebagai punca kematian utama, manakala tiga negeri lagi merekodkan Pneumonia sebagai punca utama.

Bagi Sabah, sebanyak 16,472 kematian direkodkan pada tahun 2024, bersamaan purata 45 kematian sehari atau dua kematian setiap jam. Dalam tempoh 10 tahun dari 2015 hingga 2024, Kadar Kematian Kasar bagi setiap 1,000 penduduk menunjukkan trend menurun sejak 2021, daripada 6.1 peratus kepada 4.9 peratus pada 2024.

Penurunan kadar itu menunjukkan jumlah kematian yang semakin berkurangan serta peningkatan jangka hayat penduduk di negeri tersebut.

Menurut Laporan Jadual Hayat Ringkas Malaysia 2023–2025 terbitan DOSM, jangka hayat penduduk Sabah meningkat daripada 73.1 tahun pada 2022 kepada 75.3 tahun pada 2025. Jangka hayat lelaki meningkat daripada 71.3 tahun kepada 73.3 tahun, manakala wanita meningkat daripada 75.2 tahun kepada 77.7 tahun.

Tiga daerah di Sabah yang merekodkan jangka hayat tertinggi ialah Kinabatangan (80.2 tahun), Telupid (79.7 tahun) dan Penampang (79.2 tahun). Malah, Kinabatangan merupakan daerah dengan jangka hayat kedua tertinggi di Malaysia selepas Samarahan di Sarawak.

Walaupun demikian, punca kematian utama di Sabah ialah Pneumonia dengan kadar 9.9 peratus, yang juga menjadi punca utama bagi lelaki dan wanita. Daripada 27 daerah di negeri itu, Pneumonia menjadi punca kematian utama di semua daerah kecuali Kinabatangan, Sandakan dan Beluran yang merekodkan Penyakit Jantung Iskemik, serta Nabawan yang merekodkan kegagalan jantung.

Mengikut kumpulan umur, Pneumonia merupakan punca kematian utama bagi kanak-kanak berusia 0 hingga 14 tahun serta warga emas berusia 60 tahun ke atas. Bagi kumpulan umur 41 hingga 59 tahun pula, Penyakit Jantung Iskemik menjadi punca utama.

Namun, bagi golongan usia 15 hingga 40 tahun, kemalangan pengangkutan mencatatkan punca kematian tertinggi dengan 860 kematian atau 15.5 peratus, melibatkan kemalangan darat, udara dan air.

DOSM melaporkan bahawa dalam tempoh lima tahun dari 2020 hingga 2024, jumlah kemalangan jalan raya di Sabah meningkat sebanyak 56 peratus, manakala jumlah kematian akibat kemalangan meningkat 45 peratus, selari dengan pertambahan panjang jalan raya negeri itu sebanyak 1,091 kilometer atau lima peratus.

Sementara itu, negara turut merekodkan peningkatan kes kematian akibat bunuh diri daripada 1,068 kes pada 2023 kepada 1,119 kes pada 2024. Dalam tempoh lima tahun, jumlah kematian bunuh diri meningkat daripada 641 kepada 1,119 kes, manakala kadar kematian bunuh diri bagi setiap 100,000 penduduk meningkat daripada 2.0 kepada 3.3 orang.

Selangor merekodkan jumlah kematian bunuh diri tertinggi dengan 280 kes, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (182 kes) dan Johor (172 kes). Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan masing-masing merekodkan satu kes, manakala Perlis merekodkan dua kes.

Dari segi kadar kematian bunuh diri, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatat kadar tertinggi iaitu 8.8 bagi setiap 100,000 penduduk, diikuti Pulau Pinang (6.3) dan Perak (4.4). Kadar terendah direkodkan oleh Perlis (0.7), Kelantan (0.8) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (0.8).

LEAVE A RESPONSE