Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Arshad sedia hadapi saingan 11 penjuru di Karambunai

Read Time:1 Minute, 21 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU :  Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai Datuk Arshad Idris optimis dengan penerimaan masyarakat terhadap beliau selepas tiga tahun turun padang secara konsisten di seluruh kawasan itu.

Menurutnya, usaha berterusan mendekati penduduk kampung dan memahami keperluan mereka telah membentuk hubungan yang kukuh antara beliau dan masyarakat setempat.

“Alhamdulillah, kita bukan hanya kempen satu dua hari lepas. Bahkan kita sudah tiga tahun menjelajah seluruh kawasan Karambunai, bersuai kenal dengan penduduk kampung.

“Insya-Allah, kini kita hanya menunggu masa untuk mengetahui bagaimana sambutan rakyat kepada kita, termasuk kepada parti GRS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis perasmian Dewan Komuniti Bestari PRBSS cawangan Bandaraya Kota Kinabalu di Kampung Unggun di sini pada Selasa.

Majlis perasmian disempurnakan Setiausaha Agung PRBSS Datuk Abdul Kassim Razali bagi mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Mengulas mengenai saingan 11 calon lain di kawasan berkenaan, Arshad menyifatkan pertandingan tersebut sebagai sihat dan tidak membebankan.

“Insya-Allah, sebagai calon nombor 5, saya rasa saingan tidaklah begitu teruk. Masing-masing ada hala tuju sendiri.

“Kita pun dengan hala tuju kita, kita akan sempurnakannya,” katanya.

Beliau turut menghormati tanggungjawab serta perjuangan parti-parti lawan dalam membawa agenda masing-masing kepada rakyat.

Ditanya mengenai hala tuju yang ingin dibawa, beliau menekankan keutamaan terhadap kebajikan penduduk kampung, khususnya golongan belia.

“Jika diberi mandat, Insya-Allah, kita akan sentiasa prihatin kepada orang kampung—terutama belia yang memerlukan pekerjaan. Kita mahu meningkatkan ekonomi mereka agar setaraf dengan penduduk di kampung-kampung lain,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pembangunan ekonomi belia merupakan kunci kepada kemajuan keseluruhan komuniti di Karambunai. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE