Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

APM Sandakan berjaya tangkap buaya 200kg

Read Time:1 Minute, 8 Second

SANDAKAN : Seekor buaya sepanjang sembilan kaki dengan anggaran berat 200 kilogram berjaya ditangkap oleh pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sandakan dalam satu operasi pantas di Kampung Sungai Obar, Batu 7, awal pagi tadi.

Pegawai APM Sandakan, Kapten (PA) Sulaiman Salama, berkata operasi itu dilancarkan selepas Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 1.42 pagi yang melaporkan kemunculan buaya di bawah kolong sebuah rumah penduduk.

“Menurut pengadu, buaya berkenaan dipercayai mengejar seekor anjing sebelum muncul berhampiran kawasan rumah dan menimbulkan panik dalam kalangan penduduk,” katanya.

Sulaiman berkata, sepasukan anggota APM segera dikerahkan ke lokasi dan berjaya menjerut serta menutup mata buaya tersebut menggunakan tali, penyepit dan selimut keselamatan bagi mengelakkannya bertindak agresif.

“Operasi tangkapan selesai sepenuhnya pada jam 2.53 pagi, mengambil masa kira-kira 49 minit dari panggilan diterima hingga reptilia itu berjaya dikawal. Tiada sebarang kecederaan atau insiden tidak diingini dilaporkan,” jelasnya.

Operasi tersebut melibatkan lapan anggota APM dengan bantuan dua buah kenderaan Light Rescue Vehicle (LRV).

Sulaiman turut menasihatkan penduduk agar lebih berhati-hati dan peka terhadap persekitaran, khususnya di kawasan berhampiran sungai atau parit besar yang menjadi habitat buaya.

“Jika ternampak haiwan liar seperti buaya atau ular, jangan cuba mendekati atau menakut-nakutkannya. Segera laporkan kepada pihak berkuasa melalui talian kecemasan MERS 999 agar tindakan segera dapat diambil,” katanya lagi. – SABAH MEDIA / FOTO APM

LEAVE A RESPONSE